TINDAKAN agresif seorang wanita membaling objek ke arah sebuah kereta lain membawa padah selepas dia dilanggar oleh kenderaan tersebut sehingga mengakibatkan kecederaan parah terhadap kakinya.
Insiden tersebut dirakam oleh pengguna jalan raya lain dalam kejadian di Pantai Coolum, Sunshine Coast, Australia pada pukul 5.30 petang Jumaat.
Menerusi video tersebut, wanita berusia 26 tahun itu pada awalnya dilihat keluar dari kereta jenis Subaru berwarna biru yang dinaikinya sebelum bertindak membaling sebuah objek ke cermin depan jenis kereta pacuan empat roda yang berada di belakangnya dan dipandu seorang lelaki.

Wanita itu dilihat mengalami kecederaan parah di bahagian kaki ekoran kejadian tersebut. — Agensi
Perbuatan itu menyebabkan pemandu lelaki terbabit cuba memandu ke hadapan dengan membelok bagi mengelak kereta mangsa sebelum terlanggar wanita berkenaan yang terhimpit antara kedua-dua kenderaan.
Dalam insiden tersebut, tayar kereta pacuan empat roda itu dilihat turut melenyek bahagian bawah badan mangsa termasuk kakinya.
Ekoran daripada perlanggaran itu, wanita berkenaan dilihat cuba memegang kakinya sebelum dibantu oleh penumpang lelaki yang menaiki kenderaannya.
Pemandu pacuan empat roda itu kemudiannya dilaporkan turun dari kenderaan untuk melihat keadaan sebelum kembali ke keretanya dan terus meninggalkan lokasi kejadian.
Polis dan pasukan perubatan dilaporkan sudah hadir ke tempat kejadian dan membawa wanita itu ke Hospital Universiti Sunshine Coast untuk mendapatkan rawatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
