[VIDEO] Joe Biden terselamat insiden kereta rempuh konvoi kenderaan presiden


  • Benua
  • Selasa, 19 Dis 2023

Tangkap layar kejadian sebuah kenderaan merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) yang juga sebahagian daripada konvoi pengiring Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada Ahad malam

SEBUAH kereta merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) yang juga sebahagian daripada konvoi pengiring Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada Ahad malam.

Presiden, Joe Biden dan isterinya dilaporkan selamat dalam kejadian itu.

Semasa pelanggaran itu berlaku, Biden dan isterinya, Jill Biden baru sahaja meninggalkan ibu pejabat kempennya selepas menikmati makan malam spageti bersama pasukannya.

Dikatakan, keluarga Biden telah keluar dalam keadaan hujan pada pukul 8:07 malam (waktu tempatan).

Sejurus itu, sebuah kereta Sedan warna perak dengan nombor pendaftaran Delaware melanggar sebuah SUV pengiring di persimpangan pintu masuk ibu pejabat kempen.

Susulan situasi yang mencetuskan panik itu, pegawai keselamatan bertindak segera, mengepung kereta dan menghalakan senjata ke arah pemandu yang kemudian mengangkat tangannya.

Selepas siasatan dijalankan, pemandu kereta itu, James Cooper, 46 didakwa kerana memandu dalam keadaan mabuk.

"Berikutan siasatan kami, Polis Wilmington mendapati bahawa ini adalah perlanggaran tidak sengaja dan telah mendakwa pemandu yang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol," kata polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram