[VIDEO] Polis bongkar penemuan 5 mayat tanpa identiti cuba disorok pihak universiti di Medan


  • Benua
  • Rabu, 13 Dis 2023

Tangkap layar detik-detik penemuan dua mayat dalam bekas air di Unpri Medan, Sumatera Utara pada Selasa.

SEBANYAK lima mayat tanpa identiti ditemui di Universiti Prima Indonesia (UNPRI) Jalan Sampul, Daerah Medan Petisah, Kota Medan, Sumatera Utara, Indonesia pada Selasa.

Pada awalnya, warganet panik apabila tular di media sosial mengenai penemuan dua mayat di dalam sebuah bekas air di universiti berkenaan.

Rakaman yang berdurasi 15 saat memaparkan mayat tanpa identiti dilihat sudah mereput dan diletakkan di dalam sebuah bekas besar berisi air di tempat letak kereta di tingkat 9 universiti itu.

“Ada mayat di tingkat 9 UNPRI,” kata seseorang lelaki menerusi rakaman video itu sambil menunjukkan lokasi mayat itu.

Video tular itu kemudian disiasat oleh Polis Unit Siasatan Jenayah Medan dengan mendatangi tempat itu pada Isnin petang.

Namun, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polres Medan, Komisioner Teuku Fathir Mustafa berkata, kejadian itu dilihat cuba ditutupi oleh pihak universiti yang menolak kehadiran pihak polis.

Meskipun dihalang, pihak polis akhirnya berjaya memasuki kawaasan berkenaan untuk meneruskan pencarian.

“Namun, apabila pihak polis tiba, kawasan tingkat 9 sudah pun dibersihkan, tidak seperti yang dilihat dalam video yang tersebar.

"Pihak polis cuba meneruskan pemeriksaan dengan meninjau beberapa bilik lain tetapi ia dikunci," kata Teuku Fathir.

Dalam pada itu, pihak polis kembali ke lokasi berkenaan pada Selasa untuk menyiasat semula di tempat kejadian.

Selepas meneruskan pencarian, polis mendedahkan penemuan sekurang-kurangnya lima mayat tanpa identiti di universiti berkenaan.

“Daripada pencarian, penemuan setakat ini adalah lima mayat, empat mayat lelaki dan seorang mayat perempuan.

"Kesemua mereka ditemui di salah sebuah bilik di tingkat 15 dan siasatan sedang dibuat," katanya.

Mengulas lanjut, Teuku Fathir berharap agar pihak terbabit dapat memberi kerjasama untuk menjalankan siasatan kes itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram