
DUA nahas terjadi membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Porsche di Ayer Rajah Expressway menuju ke Marina Coastal Expressway, Singapura pada Khamis.
Kejadian yang berjaya dirakam oleh rakaman kamera papan pemuka (dashcam) itu dilaporkan terjadi sekitar pukul 6 petang.
Pada awalnya, kereta jenis Porsche yang pada ketika itu berada di lorong belah kanan melihat kenderaan di hadapannya berhenti lalu bertindak untuk menukar lorong ke arah kiri.
Pada masa yang sama, dua orang penunggang motosikal dari arah belakang melalui lorong yang sama dan tidak sempat mengelak sehingga melanggar kenderaan mewah itu.
Rakaman menunjukkan kedua-dua penunggang motosikal itu jatuh terpelanting di tengah jalan.
Pelanggaran itu menyebabkan pemandu kereta terbabit cemas sehingga bertindak menghentikan kenderaannya di tengah-tengah jalan.
Dengan bergegas, pemandu kereta itu membuka pintu untuk keluar bagi memeriksa keadaan mangsa.
Secara tiba-tiba, sebuah motosikal lain dari arah belakang merempuh pintu kereta Porsche terbabit sehingga terkena ke arah kenderaan lain yang berada di lorong kanannya.
Dalam pada itu, pada pukul 5.55 petang (waktu tempatan), Pasukan Pertahanan Awam Singapura dilaporkan mengenai kemalangan itu untuk tindakan selanjutnya.
Mengulas lanjut, seorang penunggang motosikal wanita berusia 20 tahun dan dua penunggang motosikal lelaki berusia 20 dan 48 tahun kini dihantar ke Hospital National University, Singapura untuk menerima rawatan.
Menurut polis, siasatan sedang dijalankan terhadap kemalangan itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram