[VIDEO] Dua terkorban, nahas kenderaan tiba-tiba meletup penuh misteri di Niagara Falls


  • Benua
  • Khamis, 23 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan letupan sebuah kenderaan yang berlaku di Rainbow Bridge yang menghubungkan Amerika Syarikat ke Kanada di Niagara Falls, Kanada pada Rabu.

TIADA petunjuk diperoleh pihak berkuasa rentetan insiden letupan sebuah kenderaan di Rainbow Bridge yang menghubungkan Amerika Syarikat (AS) ke Kanada di Niagara Falls, Kanada yang mempunyai kaitan dengan serangan pengganas, kata Gabenor New York, Amerika Syarikat, Kathy Hochul pada Rabu.

"Tiada tanda aktiviti pengganas dengan kemalangan itu. Kami mengenal pasti individu terlibat ialah penduduk tempatan dari barat New York," katanya pada sidang media, lapor beberapa agensi berita luar negara.

Beliau berkata, dua orang dalam kenderaan itu maut manakala seorang pegawai peronda sempadan yang berada di pondok di tempat kejadian hanya cedera ringan.

Hochul berkata, jambatan itu akan kekal ditutup memandangkan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.

Gabenor berkata, nahas dipercayai berlaku akibat kenderaan itu dipandu laju.

Menurut polis, jambatan lain yang menghubungkan Amerika Syarikat-Kanada-Peace Bridge, Lewiston-Queenston Bridge dan Whirlpool Bridge kini dibuka. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram