KABINET Israel bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata bersama Hamas sebagai pertukaran pembebasan 50 tahanan rejim itu.
Mengulas lanjut, gencatan senjata itu dipersetujui akan dibuat selama empat hari.
Pada masa yang sama, tahanan rejimnya akan dibebaskan dalam kumpulan 12 hingga 13 orang sehari.
Pegawai Israel berkata, sepanjang tempoh itu, tiada pertempuran membabitkan Israel ke atas Palestin.
Bangunan di Semenanjung Gaza dibom dalam serangan rejim Zionis.
Keputusan dicapai selepas mesyuarat berlangsung selama beberapa jam, bermula pada Selasa dan berpanjangan sehingga pada Rabu.
Sebelum bertemu dengan kerajaan Israel, Netanyahu bertemu dengan pegawai tentera dan keselamatan mengenai perjanjian itu.
Butiran mengenai perkara itu masih belum diperinci, tetapi pegawai Israel berkata, 50 tahanan akan dibebaskan sepanjang empat hari tempoh gencatan senjata berkuat kuasa.
Perantara perjanjian itu dibuat di Qatar dan disertai bersama Amerika Syarikat (AS), Israel, dan Hamas.
Menurut rejim Israel, Hamas dipercayai menahan kira-kira 240 tebusan, yang diculik ketika pejuangnya menyerbu masuk ke Israel pada 7 Oktober.
Manakala, sekurang-kurangnya 13,000 rakyat Palestin terkorban sementara 30,000 mangsa lain pula dilaporkan cedera susulan serangan rejim Zionis ke atas Gaza.
Daripada jumlah berkenaan, 5,500 kematian melibatkan kanak-kanak dan 3,500 mangsa pula merupakan wanita. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram