[VIDEO] 79 penumpang sempat diselamatkan sebelum feri musnah terbakar di Pulau Bidong


  • 112
  • Sabtu, 06 Mei 2023

Keadaan feri yang terbakar di pesisir pantai Pulau Bidong, Kuala Terengganu, pada Sabtu. — Facebook

SEBUAH feri yang membawa 79 penumpang termasuk kru yang dalam perjalanan ke Jeti Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu, Terengganu terbakar dalam kejadian pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat Maritim Kuantan pada 3 petang.

"Feri berkenaan membawa 79 individu dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Redang menuju ke Jeti TTI sebelum terbakar ketika berada berhampiran Pulau Bidong.

"Bertindak atas laporan, dua aset milik APMM telah digerakkan ke lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kesemua mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dipindahkan ke Jeti TTI.

Katanya, kebakaran telah merebak ke seluruh bahagian feri dan dianggarkan musnah seratus peratus manakala punca insiden masih disiasat.

Video insiden itu yang tular di media sosial memaparkan sebuah feri terbakar di Pulau Bidong dan sesetengah warga net mendakwa kepulan asap boleh dilihat dengan jelas beberapa kilometer dari lokasi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

feri, terbakar, APMM, pulau bidong, pulau redang