[VIDEO] Pelancong Rusia tanpa pakaian ditahan polis Thailand lepas serang pasangan kekasih atas motor


  • Benua
  • Khamis, 09 Nov 2023

Sekumpulan orang awam yang berada di lokasi kejadian bertindak menahan lelaki itu sebelum menunggu ketibaan polis. — Agensi

TINDAKAN seorang pelancong Rusia yang berjalan di khalayak ramai dalam keadaan tanpa seurat benang dan mengganggu ketenteraman awam membawa padah buat dirinya apabila dia ditahan pihak berkuasa pada Selasa.

Lelaki berusia 23 tahun yang ditahan kira-kira pukul 8 malam di Soi Na Kluea 16, Utara Pattaya, Thailand itu pada awalnya merahsiakan identitinya sementara menunggu polis melakukan penilaian psikologi.

Penangkapan itu dilaksanakan sepasukan pegawai penguatkuasa undang-undang Banglamung, yang diketuai oleh Superintendan Balai Polis Bang Lamung, Kolonel Polis Navin Sinthurat.

Lelaki itu dikatakan enggan memberi kerjasama untuk berkomunikasi sama ada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Thailand.

Dia malah berterusan mengganggu pihak polis, wartawan, kakitangan perubatan dan orang awam sewaktu dalam perjalanan ke hospital berdekatan.

Sebelum ini, pelancong itu dilaporkan berkeliaran dan membuat kacau dengan menjerit kepada orang yang lalu lalang di sekitar kawasan Na Kluea dalam keadaan berbogel sepenuhnya.

Lebih parah, dia secara tiba-tiba menyerang sepasang kekasih yang menunggang motosikal dan sedang berhenti di lampu isyarat merah berhampiran Soi Na Kluea 16.

Melihat keadaan yang semakin tidak terkawal, orang awam segera menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan tentang insiden berkenaan.

Sekumpulan orang ramai yang berada di lokasi kejadian juga bertindak campur tangan dengan menahan lelaki itu sebelum menunggu ketibaan polis.

Untuk rekod, pelancong berbogel di Thailand bukanlah satu fenomena baharu apabila situasi sama pernah berlaku pada tahun lalu yang menyaksikan seorang lelaki warganegara Rusia berbogel turut dikesan di kawasan Koh Samui. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram