TIGA pekerja tapak binaan meninggal dunia di tapak bangunan akibat tertimbus tanah dalam kejadian pada Khamis di Wonosobo, Indonesia.
Kejadian berlaku di Dusun Banaran, Desa Kalierang, Kecamatan Selomerto, Wonosobo kira-kira pukul 3 petang.
Ketua Pelaksana Agensi Pengurusan Bencana Serantau, Bambang Triyono berkata, pada masa kejadian berlaku, ketiga-tiga mangsa melakukan kerja untuk membaiki saluran pembetung bawah tanah.
"Pembetung lama ini sedang dibaiki dan dilebarkan. Sebelum ini, ia adalah pembetung konkrit bulat dengan diameter sebesar satu meter. Ia akan digantikan dengan pembinaan pembetung baharu," katanya.
Pada masa kejadian, empat pekerja menggali pembetung konkrit berukuran 6.7 meter panjang, 1.2 meter lebar dan 2.7 meter dalam.
Ketika pekerja menjalankan proses penggalian di bawah tanah, secara tiba-tiba tanah setinggi 2.7 meter jatuh ke bawah dan menghempap tiga orang pekerja.
Dalam keadaan panik, seorang pekerja yang terselamat segera berteriak untuk meminta pertolongan bagi menyelamatkan mangsa yang tertimbus di dalam tanah.
"Seorang pekerja meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala dua pekerja berjaya dipindahkan tetapi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital," kata Bambang.
Mengulas lanjut, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Wilayah Setjonegoro Wonosobo bagi menjalankan proses bedah siasat.
"Hasil keputusan bedah siasat tidak menunjukkan sebarang tanda jenayah, ia semata-mata kemalangan di tapak bangunan,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram