[VIDEO] Kereta hilang kawalan rempuh lebih 10 motosikal depan bank


  • Benua
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Tangkap layar kejadian sebuah kereta Mitsubishi Pajero merempuh deretan motosikal yang berada di hadapan bank pada Jumaat.

SEBUAH kereta jenis Mitsubishi Pajero secara tiba-tiba merempuh deretan motosikal yang berada di hadapan sebuah bank pada Jumaat.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Bank Negara Indonesia (BNI) Cawangan Teuku Umar, Denpasar Barat, Indonesia.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, pemandu kereta Pajero berwarna hitam itu dipercayai hilang kawalan semasa hendak mengeluarkan kenderaannya dari parkir kereta.

Rakaman itu menunjukkan kereta terbabit merempuh lebih daripada 10 buah motosikal yang diletakkan di depan bank tersebut.

Susulan pelanggaran itu, kepulan asap putih dilihat mulai keluar di bawah kereta berbabit.

Beberapa individu yang berada berdekatan bank itu sempat menyelamatkan diri daripada dirempuh kereta terbabit.

Malah, seorang penunggang motosikal yang baru tiba sempat menyelamatkan diri daripada dilanggar kereta itu.

Setakat ini, belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa mengenai kejadian yang berlaku dan nasib pemandu itu tidak dapat dipastikan.

Namun, tiada seorang mangsa yang tercedera dalam insiden tersebut. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram