[VIDEO] Padah tahan guna helmet, polis cedera parah kena rempuh pelesit


  • Benua
  • Khamis, 02 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan pegawai polis yang cedera selepas dirempuh penunggang motosikal di Peru.

SEORANG pegawai polis cedera selepas dirempuh oleh penunggang motosikal ketika sedang melakukan operasi di daerah Huanchaco, Trujillo, La Libertad, Peru pada Sabtu.

Dalam kejadian itu, pegawai dari balai polis Huanchaco yang berpangkat Leftenan, Erik Avalos Torres cuba menahan sebuah motosikal yang dipandu secara laju sebelum dia dirempuh dan terpelanting ke bahu jalan.

Pada masa sama, kemalangan tersebut juga sempat dirakam oleh salah seorang saksi yang berada di lokasi kejadian ketika itu.

Menerusi video itu, mangsa dilihat sedang cuba untuk menahan sebuah motosikal dan menghalangnya dengan menggunakan topi keledar sebelum dirempuh.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika pihak Polis Peru (PNP) melakukan pemeriksaan kenderaan di sebuah kawasan berhampiran lapangan terbang Capitan Carlos Martínez di Pinillo pada 26 Oktober (Khamis).

Impak daripada pelanggaran tersebut, pegawai yang dirempuh dilaporkan mengalami cedera parah pada muka dan siasatan juga telah dijalankan dan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa.

Bukan itu sahaja, dua orang penunggang motosikal terbabit turut cedera selepas kemudiannya merempuh sebuah kereta peronda polis.

Kedua-dua penunggang dan pembonceng yang bernama John Verde Reyes, 23, dan Pamela Florean Sanchez dikatakan masih dirawat di sebuah klinik di Trujillo.

Selain itu, John Verde dikatakan akan menjalani pembedahan selepas kehilangan beberapa gigi dan mengalami luka di mukanya manakala Pamela Florean pula sedang menjalani pemeriksaan untuk mengenal pasti sebarang kecederaan dalaman atau kecederaan serius.

Sementara itu, Polis Peru melaporkan bahawa sebanyak 96 kematian direkodkan akibat kemalangan membabitkan kenderaan kecil termasuk motosikal, beca dan basikal di Metropolitan Lima dari Januari hingga Ogos 2023. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram