TULAR rakaman video aksi seorang pramugara mengambil video bawah skirt seorang penumpang wanita yang berada dalam penerbangan Aeromexico baru-baru ini.
Syarikat Penerbangan Aeromexico berkata, pihaknya melaksanakan tribunal siasatan untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu tersebut.
"Aeromexico, dalam persetujuan dengan Persatuan Kesatuan Pramugari Penerbangan Mexico (ASSA de Mexico) berasa kesal dengan apa yang terjadi dan menegaskan bahawa operasinya sama sekali tidak membenarkan kelakuan tidak senonoh sedemikian," kata syarikat yang berpangkalan di Mexico City itu.
Selain Mexico, beberapa negeri di Amerika, Asia dan Eropah selain di England dan Wales melarang perbuatan merakam skirt wanita dari bawah.
Menerusi rakaman, pramugara itu dilihat menggunakan telefon bimbit untuk merakam skirt seorang wanita ketika berada di atas kapal terbang.
Pada masa sama, pelaku menggerakkan peranti itu dari arah bawah dengan mengikuti langkah kaki wanita berkenaan.
Bagi mengelak perbuatannya diketahui, suspek dilihat berpura-pura membuka almari dengan menggunakan tangan kirinya, sambil meneruskan rakaman dengan tangan kanannya.
Pramugara itu bekerja dalam penerbangan Aeromexico, tidak sedar bahawa tindakannya itu juga dirakam oleh penumpang lain.
Saksi yang melihat kejadian memberi video itu kepada wartawan dengan mendakwa bahawa wanita itu bukanlah orang pertama yang diintai, tetapi kejadian pertama yang berjaya dilaporkan.
Wartawan itu pula bertindak memuat naik rakaman tersebut di laman X dengan menegaskan bahawa wanita perlu dilindungi sebarang gangguan seksual. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram