[VIDEO] Remaja 18 tahun kejung terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika baiki kabel


  • Benua
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan mangsa yang pengsan ketika melakukan penyelenggaraan kabel di Indonesia pada Jumaat.

MELAKUKAN penyelenggaraan melibatkan komponen elektrik sememangnya mempunyai risiko yang tinggi dan berbahaya jika tidak dilakukan dengan prosedur betul.

Begitulah yang terjadi kepada seorang pekerja syarikat perkhidmatan elektrik yang dipercayai tidak sedarkan diri selepas terkena renjatan elektrik di Kompleks Perumahan Puri Mutiara, Blok A3, Kampung Anduonohu, Daerah Poasia, Indonesia pada Jumaat.

Mangsa yang dikenali sebagai NR, 18, dipercayai sedang menjalankan penyelenggaraan kabel di kawasan perumahan tersebut sebelum pengsan secara tiba-tiba akibat terkena renjatan daripada arus elektrik bervoltan tinggi.

Ketua Polis Kendari, Pesuruhjaya Eka Faturrahman berkata, mangsa yang dipercayai seorang pelajar itu terkena renjatan elektrik ketika melakukan pemeriksaan semasa ingin memasang pembalut kabel.

Menerusi video yang sempat dirakam oleh salah seorang saksi di tempat kejadian, salah seorang rakan sekerja mangsa dilihat cuba untuk membawa turun mangsa dengan menggunakan sebatang kayu.

“Rakannya yang berada di bawah tiang elektrik cuba menurunkan mangsa dengan menolak badannya menggunakan kayu sehingga dia terjatuh,” katanya.

Pada masa sama, mangsa dilihat dalam keadaan lemah dan badannya masih tergantung pada kabel tersebut.

Sementara itu, mangsa dilaporkan sedang mendapatkan rawatan di ICU 4 di Hospital Abunawas (RSUD) Kota Kendari.

Dalam pada itu, pihak polis juga dilaporkan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram