[VIDEO] Ingatkan 'air hujan', pemandu Gojek di Singapura dipenjara 2 minggu akibat masuk kolam bersama penumpang


  • Benua
  • Isnin, 25 Sep 2023

Keadaan kenderaan jenis Honda Vezel dipandu Tuck Heng yang terkandas di tepi kolam di kondominium terbabit. — Agensi

SEORANG pemandu Gojek di Singapura dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu selepas memandu kenderaannya yang ketika itu turut dinaiki penumpang warga emas ke dalam kolam renang sebuah kondominium.

Chean Tuck Heng, warga Singapura berusia 67 tahun itu mengaku bersalah pada Jumaat lalu atas pertuduhan melakukan perbuatan terburu-buru sehingga membahayakan nyawa manusia.

Dalam insiden berkenaan, Tuck Heng bertindak memandu sehingga terbabas 60 meter daripada laluan yang sepatutnya sebelum menuju ke kolam renang.

Difahamkan, dia turut mengabaikan arahan daripada pengawal keselamatan dan penumpangnya sendiri dan mengatakan bahawa dirinya tahu jalan dan menyifatkan kolam dilihat itu hanya sebagai "air hujan".

Ketika sesi pendengaran, mahkamah diberitahu bahawa tertuduh sebelum itu menerima tempahan Gojek yang dibuat oleh cucu penumpang warga emas berusia 79 tahun itu sekitar pukul 8 malam pada 28 Feb lalu.

Susulan daripada itu, Tuck Heng bertindak mengambil penumpang tersebut dari Sengkang dan memandunya ke kondominium The Hillside yang terletak di sepanjang kawasan Upper Bukit Timah Road dengan keadaan cuaca hujan pada waktu itu.

Menerusi notifikasi tempahan, cucu perempuan penumpang berkenaan turut memberikan arahan supaya pemandu melakukan belokan ke kanan di simpang pertama selepas melalui pondok pengawal keselamatan untuk sampai ke lokasi.

Apabila Tuck Heng tiba di kondominium The Hillside, seorang pegawai keselamatan turut menyuruhnya membelok ke kanan di simpang pertama.

Namun, sebaik saja melepasi pondok pengawal, dia terus memandu kenderaan tersebut ke atas susur pejalan kaki di kawsan kondominium itu sebelum melanggar beberapa pasu bunga.

Pada waktu itu, penumpang terbabit turut memberitahu Tuck Heng bahawa dia telah terlepas simpang namun ia tidak diendahkan.

Pada masa sama, seorang lagi pengawal keselamatan memberitahunya bahawa dia telah memandu ke kawasan di mana kenderaan tidak dibenarkan, turut berada berhampiran kolam renang.

Pengawal tersebut turut meminta supaya berundur namun, Tuck Heng kemudiannya cuba membuat pusingan dengan bergerak lebih ke hadapan dan mendakwa air yang dilihat itu adalah air hujan dan bukannya kolam renang.

Disebabkan itu, tayar hadapan kenderaan terbabit kemudiannya memasuki kolam berkenaan menyebabkan penumpangnya bertindak keluar menyelamatkan diri menggunakan pintu belakang.

Pada waktu kejadian, tiada mana-mana individu dilaporkan mandi di dalam kolam sedalam 0.5 meter itu.

Ekoran daripada kejadian itu, pengawal keselamatan segera menghubungi pihak polis.

Pengurusan kondominium dilaporkan mengalami kerugian kira-kira S$615 (RM2,100) untuk membaiki kerosakan yang berlaku akibat insiden tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram