TULAR di media sosial aksi seekor harimau yang tiba-tiba muncul di kolam renang yang dipercayai terjadi di zoo persendirian Al Bugaish, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis.
Video yang berdurasi 11 saat itu menimbulkan suasana panik dan ketakutan buat pengunjung yang kelihatan bersuka ria ketika berada di kolam itu.
Kejadian itu menyebabkan pengunjung yang sedang bersantai dan berenang di kolam tersebut segera bergegas keluar untuk menyelamatkan diri masing-masing daripada diserang harimau terbabit.
Malah, terdapat seorang pengunjung yang tergelincir akibat terburu-buru keluar daripada kolam dalam keadaan kaki yang licin.
Rakaman itu mendapat perhatian warganet seluruh dunia termasuk negara India, Amerika Syarikat dan Thailand.
Perkara sebenar yang terjadi di sebalik video adalah hanya rancangan daripada pemilik zoo itu, Humaid Al Buqaish yang memutuskan untuk melepaskan harimau sebagai tindakan gurauan semata-mata.
Humaid Al Buqaish menubuhkan zoo persendirian Buqaish di Dubai selepas keluarga diraja UAE melarang untuk memelihara haiwan peliharaan eksotik di negara itu yang mengakibatkan banyak haiwan terbiar.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet terhibur melihat aksi video itu.
"Saya pun tidak tahu berapa kali saya mainkan video ini, tidak boleh berhenti ketawalah," kata @smoshosambewana.
"Harimau itu macam sedang cari kawan baru," kata @shewshew89. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram