Pegawai keselamatan 'airport' sengkek sanggup telan duit curi depan 'supervisor'


  • Benua
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Pelaku tidak menyedari bahawa dia telah menoleh ke arah kamera keselamatan ketika dia memasukkan wang curi ke dalam mulutnya.

TULAR video seorang pegawai pemeriksa di sebuah lapangan terbang antarabangsa Manila nekad menelan wang tunai bernilai AS$300 (kira-kira RM1,406) yang dicuri daripada seorang penumpang.

Pegawai wanita itu bertindak demikian bagi mengelakkannya daripada ditangkap selepas mencuri daripada dompet seorang penumpang ketika pemeriksaan imbasan badan.

Bagaimanapun, tindakannya dirakam kamera keselamatan lapangan terbang sebelum video berkenaan tular di media sosial.

Media melaporkan wang berkenaan adalah daripada dompet seorang penumpang yang menyerahkan beg sandangnya sebelum menjalani imbasan badan.

Pegawai itu dikenali sebagai Irency Morados, lapor agensi berita Filipina yang dikendalikan kerajaan.

Rakaman menunjukkan Morados memasukkan wang bernilai AS$300 ke dalam mulutnya.

Dia turut dilihat sedang minum daripada botol air yang diberikan oleh operator pengendali imbasan badan, Regino Allen.

Malah, penyelia Morados, Abraham de Luna juga kelihatan bercakap dengannya ketika dia kelihatan tersedak akibat menelan wang sambil menutup mulutnya dengan sapu tangan.

Pejabat Keselamatan Pengangkutan (OTS) berkata, penumpang itu menyedari dompetnya terbuka dengan wang di dalamnya hilang dan memaklumkannya kepada petugas di situ.

Penumpang yang kehilangan wang tersebut hanya tahu ia dicuri Morados apabila pegawai itu berpaling dan mula menelan sesuatu untuk mengelak daripada ditangkap. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram