[VIDEO] Curi telefon pelajar sekolah untuk beli rokok, penjawat awam kena cekup di Kota Baru


  • Benua
  • Khamis, 21 Sep 2023

Tular rakaman video seorang penjawat awam mencuri telefon bimbit pelajar sekolah menengah.

TULAR di media sosial aksi seorang lelaki berpakaian seragam penjawat awam (PNS) dirakam mencuri telefon bimbit milik pelajar sekolah menengah di Indonesia, baru-baru ini.

Kejadian yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu dipercayai berlaku pada Selasa di hadapan pasar mini kawasan Paal VI, Kota Baru, Bandaraya Jambi, Indonesia.

Dalam video berdurasi 40 saat yang dimuatnaik akaun @serumpunjambi, rakaman itu memaparkan tindakan pelaku menyambar telefon bimbit yang diletakkan di bakul hadapan motosikal yang dipercayai milik seorang pelajar sekolah menengah.

Kejadian bermula apabila pelajar itu menghentikan motosikalnya dan bergegas masuk ke dalam pasar mini untuk membeli barang dengan meninggalkan telefon bimbitnya di bakul motosikal.

Tindakan cuai pelajar sekolah itu mengundang kegiatan jahat suspek yang bertindak pantas menyambar telefon bimbit sebelum bergegas meninggalkan tempat kejadian.

Pelajar sekolah menengah yang kembali ke motosikalnya turut kelihatan panik apabila menyedari telefonnya sudah hilang.

WhatsApp Image 2023-09-21 at 12.50.34 PM

Mardono, seorang penjawat awam yang melakukan kegiatan kecurian.

Bagaimanapun suspek yang dikenalpasti sebagai Mardono, berjaya diberkas walaupun dia cuba mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa dengan menggunakan motosikal tanpa plat.

Hasil siasatan mendapati pelaku merupakan seorang kakitangan kerajaan yang bekerja di Jabatan Perindustrian dan Perdagangan di Jambi.

Ketua Polis Daerah Jambi Unit Resmob, Inspektor Polis Pertama (IPTU) June Sianipar berkata, Mardono mengakui melakukan perbuatan tersebut semata-mata untuk membeli rokok.

“Jadi dia (pelaku) mengaku khilaf.

“Bantu-bantu untuk beli rokok dia cakap,” kata polis itu.

June turut menjelaskan bahawa tindakan ini merupakan tindakan pertama yang dilakukan oleh pelaku.

Bagaimanapun pihak polis tidak menyatakan hukuman yang dikenakan terhadap Mardono. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram