
NIAT seorang guru lelaki untuk menghukum pelajar berakhir dengan tragedi selepas budak berusia sembilan tahun cedera parah hingga dia perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan objek asing daripada otaknya.
Lebih memilukan, guru itu sebenarnya mahu menghukum murid lain, namun menyebabkan murid lain pula tercedera.
Kanak-kanak perempuan yang juga pelajar tahun empat di Sekolah Rendah Tasik Meixi di bandar Changsha, Hunan, China dibawa ke hospital pada 6 September untuk prosedur craniotomi yang berlangsung hampir lima jam, lapor media China.
Craniotomi adalah proses pembedahan yang memerlukan sebahagian daripada tulang tengkorak dikeluarkan untuk menurunkan tekanan tinggi dalam otak.
Gambar yang disediakan oleh ibu kanak-kanak perempuan itu menunjukkan bahawa terdapat serpihan objek asing dalam tengkoraknya.
Objek tersebut dipercayai serpihan pembaris set persegi besi yang digunakan oleh guru terbabit untuk memukulnya.
Guru itu dikenali dengan nama Song Mouming, ditahan kerana disyaki menyebabkan kecederaan secara sengaja, kata polis tempatan pada 7 September lalu.
Sementara siasatan sedang dijalankan, pihak berkuasa pendidikan tempatan berkata, guru itu dan penyelianya telah digantung kerja.
Song dilaporkan cuba membaling pembaris itu ke arah seorang kanak-kanak lain yang duduk di barisan kelima, namun terkena kepala mangsa yang duduk satu baris di belakang murid berkenaan.
Menurut ibu mangsa yang menggunakan nama Cik Wang Yun, pihak berkuasa sekolah memaklumkan kepadanya bahawa Song tersilap sasaran ketika mendenda pelajar, mengakibatkan pembaris set persegi itu mencederakan anaknya yang dilaporkan menundukkan kepala ketika membuat kerja sekolah pada masa itu.
Cik Wang juga dilaporkan tidak percaya apabila pihak berkuasa sekolah memberitahunya bahawa kamera pengawasan gagal berfungsi pada hari itu.
Insiden tersebut terbongkar minggu lalu apabila Cik Wang menghantar mesej kepada ibu bapa rakan sekelas anaknya.
Dalam tangkapan layar yang diedarkan secara dalam talian, ibu pelajar itu menuduh Song membelasah anak perempuannya dengan kejam, melabelnya sebagai 'bukan guru, tetapi pembunuh' dan kakitangan sekolah tidak berhati perut.
Menurut Cik Wang, pihak sekolah cuba menyembunyikan kejadian itu dengan menghantar anaknya mendapat rawatan jahitan luka di hospital tempatan tanpa mendapatkan izinnya terlebih dahulu.
Dia memberitahu akhbar tempatan, The Paper bahawa salah seorang ahli keluarga bergegas ke hospital untuk menghentikan prosedur jahitan, namun kanak-kanak itu tidak sedarkan diri.
Menurut Cik Wang, keluarganya terkejut apabila mendapat terdapat kesan darah pada kasut dan pakaian seragam kanak-kanak itu selain luka sepanjang 4 sentimeter (sm) di sebelah kiri kepala anak perempuannya.
Imbasan tomographi berkomputer (CT) yang diambil di dua hospital menyimpulkan bahawa terdapat objek asing di kepalanya, dan dia terpaksa segera dibedah untuk mengeluarkan sebahagian daripada tengkoraknya bagi menurunkan tekanan pada otak.
Cik Wang berkata, doktor menunjukkan serpihan pembaris set persegi dan tengkorak yang berjaya dikeluarkan dan memaklumkan kanak-kanak tersebut mungkin akan lebih parah jika pembedahan dilewatkan.
Pada 8 September, video budak itu memberi respons kepada doktor dengan memperlihatkan dia mampu mengangkat kaki dan memegang tangan doktor, menjadi viral di Weibo.
Menurut Cik Wang, yang dipetik oleh The Paper, anaknya dalam keadaan kritikal dengan mengalami bengkak di kepala dan demam.
The Paper mendedahkan bahawa Song pernah terpalit kes hampir sama di sekolahnya sebelum ini dengan aduan mengatakan dia ada menghukum pelajar lain hingga mengakibatkan dia dibuang kerja. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram