Indonesia, Thailand dan Jepun terjejas teruk diancam tsunami menjelang 2030


  • Benua
  • Jumaat, 05 Nov 2021

SEORANG gadis berdiri di luar rumahnya yang runtuh apabila tsunami melanda Jawa dan Sumatera, dua pulau paling ramai penduduk di Indonesia. — Agensi

MENJELANG 2030, dianggarkan 50 peratus daripada penduduk dunia yang tinggal di kawasan pantai akan terdedah kepada ancaman banjir, ribut dan tsunami, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

Bersempena Hari Kesedaran Tsunami Sedunia, PBB dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan bencana tsunami yang berlaku sepanjang 100 tahun lepas, punca serta kesannya kepada masyarakat, bahaya selepas itu dan kematian.

Menurut agensi berita Anadolu, laporan itu menyatakan bahawa melaksanakan dasar dan langkah awal yang tepat serta sesuai dapat membantu mencegah potensi bencana.

PBB, yang menyenaraikan tsunami sebagai antara bencana alam paling berbahaya, memberi amaran bahawa urbanisasi dan pelancongan harus dicegah di kawasan yang mudah berlaku tsunami bagi mengelakkan risiko terhadap orang ramai.

Sri Lanka, India, Indonesia, Thailand dan Jepun adalah antara negara paling terjejas, menurut kenyataan itu.

Data PBB dan WHO menunjukkan kira-kira 260,000 orang terbunuh akibat 58 tsunami yang melanda dalam tempoh 100 tahun lepas.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Suruhanjaya Oseanografi UNESCO (IOC) menjalankan kajian untuk menyelaraskan perkhidmatan amaran awal tsunami. Stesen Amaran Awal Tsunami dan Sistem Tebatan telah ditubuhkan untuk kawasan Pasifik, Lautan Hindi, Caribbean dan Atlantik Utara-Timur, Mediterranean dan di kawasan laut yang lain.

Dengan itu, UNESCO mahu meningkatkan kesedaran mengenai amalan yang harus dilaksana untuk meminimumkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat tsunami.

IOC turut menganjurkan latihan komunikasi dan pemindahan penduduk di negara anggota, di bawah program kesedaran mengenai tsunami. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Tsunami, bencana alam, PBB, WHO, banjir, 2030, ribut