CITA-CITA sebenar Hakimah Saiful Bahri ingin menjadi peguam, namun segalanya berubah apabila anak kelahiran kota metropolitan Kuala Lumpur itu melihat iklan Akademi Laut Malaysia (ALAM) untuk jawatan kadet wanita.
"Selepas dapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2007, saya banyak melihat ruangan iklan dalam surat khabar kalau-kalau ada tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.
"Apabila nampak iklan ALAM, hati saya terus tergerak untuk memohon meskipun saya bercita-cita mahu jadi peguam.
"Saya bayangkan diri saya menjadi pelaut dan belayar ke seluruh dunia. Sebenarnya belum ada sesiapa pun dalam keluarga saya yang menyertai industri maritim,” kata Hakimah.
Dia berkongsi pengalamannya sebagai pelaut di seminar kebangsaan Women’s Network in the Maritime Community 'Training-Visibility-Recognition' yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Seminar itu dianjurkan oleh Persatuan Wanita Dalam Maritim (MyWIMA) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Persatuan Perkapalan dan Perdagangan Antrabangsa Wanita.
ALAM yang ditubuhkan pada tahun 1977 mula membuat pengambilan kadet wanita pada tahun 2006 dan Hakimah yang mengambil Diploma Pengajian Nautikal adalah antara calon kumpulan kedua kadet wanita ALAM.
Hakimah tamat pengajian sebagai pegawai dek pada tahun 2010.
Hakimah tamat pengajian sebagai pegawai dek pada tahun 2010. — Bernama
Skop pekerjaan
Pada usia 33 tahun, pencapaian Hakimah sebagai pelaut wanita amat membanggakan apabila beliau menyandang beberapa jawatan penting dalam industri yang dikuasai kaum Adam.
Di samping menyandang jawatan ketua pegawai atau pegawai kedudukan dinamik kanan (DPO) kapal sokongan menyelam, dia juga perintis wanita pertama memperolehi Sijil Kekompetenan Kelas 1 Pelayaran Tanpa Had, Master 3,000GT pada tahun 2020.
Sijil berkenaan membolehkannya mengemudi sebarang bentuk kapal dalam perairan negara dan antarabangsa pada tahun 2020.
Sebagai DPO, Hakimah bertanggungjawab ke atas sistem selamat penjagaan stesen dan memantau operasi logistik di sekeliling beliau, seperti pergerakan kapal bekalan atau helikopter.
COC adalah lesen yang disahkan oleh Jabatan Laut Malaysia untuk pelaut bagi mengemudi kapal semasa berada di laut.
Kedudukan Dinamik (DP) adalah sistem yang mengawal kedudukan serta kestabilan kapal ketika berada di laut, dengan menggunakan propeler dan penujah.
Pegawai DP bertindak sebagai penjaga waktu utama di meja kawalan DP, mengoperasi dan memantau sistem DP serta memantau operasi logistik di sekitar kapal.
"Saya juga bertanggungjawab mengawal sistem komputer DP di samping unit tujahan, pengurusan tenaga dan lebihan peralatan.
"Saya juga memantau radar secara berkala untuk perubahan trafik serta keadaan cuaca, memastikan kapal berada dalam keadaan stabil di atas kedudukan yag ditetapkan di dasar laut dan membantu pengurus pemasangan luar pantai menyediakan sistem kecemasan serta pengendaliannya sekiranya berlaku kegagalan mekanikal, " tambahnya.
Setakat ini, Hakimah belayar ke lebih 20 buah negara merentasi Laut China Selatan, Lautan Pasifik, Lautan Atlantik, Laut Mediterranean, Laut Utara, Lautan India, Teluk Benggala, Laut Norway, Laut Baltik dan pelbagai selat.
Hakimah berpandangan masih terdapat tanggapan bahawa karier maritim tidak sesuai untuk golongan wanita. — Bernama
Wanita dalam maritim
Berkhidmat dalam industri maritim bukan sahaja mencabar tetapi juga berbahaya.
Menurut Hakimah, latar belakangnya membesar dengan lima orang adik-beradik lelaki banyak membantu bekerja dengan kaum Adam tanpa rasa bimbang dan janggal.
"Menjadi pegangan saya bahawa dalam industri yang dikuasai oleh lelaki, seseorang itu perlu melihat kepada kemampuan menjalankan tugas menurut kekuatan, kecekapan dan pengalaman dan tidak kepada perbezaan jantina serta fizikal.
"Apatah lagi, setiap pelaut melalui fasa pembelajaran, latihan serta penilaian peperiksaan standard. Penting juga sikap hormat-menghormati sesama rakan sejawatan bagi mengekalkan persekitaran kerja yang positif.
"Keadaan ini akan membolehkan kami kaum Hawa mengetuai pasukan, memberi arahan serta menjalankan tanggungjawab serta tugas kami, ” katanya, sambil menambah, dia bersyukur kerana dikelilingi rakan sejawatan lelaki yang sentiasa memberi sokongan dan bimbingan dan tidak memandang rendah terhadap kemampuannya dalam melaksanakan tugas.
Hakimah berpandangan masih terdapat tanggapan bahawa karier maritim tidak sesuai untuk kaum Hawa memandangkan pekerjaannya memerlukan kekuatan fizikal dan melibatkan persekitaran pekerjaan yang berbahaya.
"Hakikat industri ini dikuasai lelaki juga membuatkan kebanyakan wanita berasa mereka akan berdepan dengan diskriminasi dan mungkin juga tidak akan mendapat peluang dan kemajuan kerjaya yang sama rata.
"Ramai wanita bimbang untuk menerokai industri yang dikuasai oleh lelaki kerana mereka percaya mungkin rakan sejawatan lelaki akan melakukan gangguan fizikal, mendera secara lisan dan tidak memberi sokongan kuat, ” katanya.
Tambahnya, salah faham itu masih berlaku kerana kurang kefahaman tentang prospek yang banyak dalam kerjaya sebagai pelaut. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram