Riyadh bina 1,350km paip air siram 7.5 juta pokok


  • Benua
  • Isnin, 10 Jul 2023

Program Green Riyadh adalah salah satu daripada empat projek mega bandar untuk menambah baik persekitaran bandar melalui penghijauan kejiranan kediaman. — Agensi

SEPANJANG 1,350 kilometer paip air sedang dipasang untuk menyalurkan 1.7 juta meter padu air terawat setiap hari kepada 7.5 juta pokok di bandar Riyadh, Arab Saudi bagi program Green Riyadh.

Ia untuk memastikan ruang hijau yang mampan dapat dihasilkan bagi projek Green Riyadh, selain projek pembangunan lain di ibu negara itu.

Difahamkan pembinaan projek tersebut telah dilaksanakan menggunakan teknologi dan kaedah terkini untuk mempercepatkan kerja tanpa sebarang gangguan.

Pengarah program Green Riyadh, Abdulaziz Al-Moqbel berkata, satu pasukan teknikal pakar daripada kerajaan dan sektor swasta turut ditubuhkan bagi menyelaras kerja berkaitan.

"Kami menggunakan paip besar dengan diameter hampir 2.4 meter, dan rangkaian utama ini akan menyalurkan air ke setiap kejiranan di Riyadh.

"Rangkaian air itu akan membantu projek-projek lain yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan seperti Public Investment Fund, Diriyah Gate Development Authority, King Salman Park, Sports Boulevard, dan rancangan King Abdulaziz Public Transport," katanya.

Dalam pada itu, Al-Moqbel memaklumkan projek tersebut bermula hampir dua tahun lalu, dan kini berada dalam fasa pembinaan, dengan pembinaan sedang dijalankan di bandar tersebut.

Katanya, jumlah air kitar semula di Riyadh ketika ini agak terhad, jadi dengan adanya rangkaian air tersebut, ia mampu menyalurkan air tersebut ke lebih banyak kawasan dalam bandar itu.

Program Green Riyadh adalah salah satu daripada empat projek mega bandar yang dilancarkan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman sebagai inisiatif Putera Mahkota Mohammed Salman untuk menanam lebih daripada 7.5 juta pokok di bandar Riyadh dan meningkatkan liputan hijau kepada 9.1 peratus.

Ia juga bertujuan untuk menambah baik persekitaran bandar melalui penghijauan kejiranan kediaman, membantu mencapai sasaran Wawasan 2030 dan inisiatif Green Saudi untuk menanam 10 bilion pokok di seluruh negara. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram