JEMAAH haji daripada Indonesia nekad berjalan kaki sejauh 20 kilometer (km) menuju ke Arafah selepas bas yang sepatutnya dinaiki mereka tidak kunjung tiba.
Jemaah tersebut yang dikenali sebagai Resty Ibrahim berkongsikan perkara tersebut menerusi hantaran di laman TikTok baru-baru ini.
Menerusi rakaman itu, Resty menyuarakan keluhannya yang terpaksa berpanas dan kehausan selepas terpaksa berjalan kaki bersama jemaah lain.
"Saya hantar video ini kepada adik kerana kami menunggu bas selama 12 jam tetapi tidak datang pun.
"Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berjalan kaki sejauh 20km ke Arafah. Ketika itu saya rasa hampir berputus asa.
"Waktu itu saya rasa sudah hampir mahu menyerah, sudahlah suhu 48 darjah, kurang minum air, tekak saya sakit, kaki melecet, sepanjang perjalanan ramai jemaah yang terjatuh terutama warga emas,” tulisnya menerusi kapsyen video tersebut.
"Alhamdulillah, dari pukul 7 pagi ke Arafah jam 11.30 malam sebelum khutbah Arafah dimulakan. Apabila saya melihat video ini, saya sangat gembira. Saya yakin ALLAH melihat perjuangan saya," jelasnya.
Wanita itu dan jemaah lain yang berada di luar pagar juga dilihat meminta air minuman daripada kakitangan yang berada di situ.
"Kawan-kawan, saya minta minum, itu saja. Tak kuat, panas, penat," kata wanita itu sambil menangis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram