[VIDEO] Lelaki obes seberat 300kg dipindah guna forklift ke hospital


  • Benua
  • Isnin, 12 Jun 2023

Muhammad yang mengalami obesiti sejak berusia 11 tahun perlu dipindahkan ke hospital kerana mengalami jangkitan kuman di beberapa bahagian badan dan kulit serta sakit di kaki. — Facebook

SEORANG lelaki Indonesia dengan berat 300 kilogram (kg) terpaksa dipindahkan dengan jentera angkat susun atau forklift dari rumahnya ke trak pikap untuk membawanya ke hospital.

Pihak berkuasa berkata, Muhammad Fajri, 27, dimasukkan ke sebuah hospital di bandar Tangerang, Indonesia kira-kira 35 kilometer (km) dari ibu kota Indonesia, Jakarta pada 7 Jun, selepas dia mengalami komplikasi akibat terlantar di atas katil sejak lapan bulan lalu.

Susulan daripada itu, Muhammad yang mengalami obesiti sejak berusia 11 tahun mengalami jangkitan kuman di beberapa bahagian badan dan kulit serta sakit di kaki.

353022528_10222969569084029_3353749019549191545_n

Usaha memindahkan Muhammad yang memiliki berat 300kg keluar dari rumahnya dengan menggunakan forklift untuk dibawa ke hospital. — Facebook

Ketua eksekutif agensi pengurusan bencana daerah Ciledug, Indonesia, yang hanya dikenali sebagai Mulyadi berkata, beliau menerima permintaan daripada penduduk setempat untuk membantu menghantar Muhammad ke hospital.

"Setibanya kami di lokasi, kami mendapati bukan sahaja jalan ke rumah pesakit terlalu sempit, tetapi dia juga terlalu besar (untuk berjalan)," kata Mulyadi.

“Sebagai penyelesaian, kami menggunakan forklift untuk memindahkannya ke trak pikap yang kemudiannya menghantarnya ke hospital,” katanya dipetik CNN Indonesia.

353390628_10222969568844023_8039765837024446136_n

Anggota pihak berkuasa yang membantu dalam proses mengalihkan Muhammad keluar dari rumahnya untuk dibawa ke hospital. — Facebook

Mulyani menambah operasi itu mengambil masa dua jam kerana mereka terpaksa memecahkan pintu rumah untuk dilalui Muhammad.

Pengarah hospital Kota Tangerang, Taty Damayanty berkata, lelaki itu akan dipindahkan ke hospital di Jakarta untuk menerima rawatan lebih lanjut daripada pakar.

Muhammad kini mengalami kesukaran untuk bergerak dan hanya mampu duduk.

Doktor memaklumkan kaki kanannya tidak boleh bergerak kerana kecederaan dialami dalam kemalangan.

"Keadaan beliau sekarang adalah disebabkan pengambilan kalori berlebihan dan ini diburukkan lagi dengan kekurangan aktiviti fizikal," kata Dr Damayanty kepada Kompas.

Ibu Muhammad, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Riwati berkata, anaknya mengalami luka di kaki kanannya kira-kira setahun lalu dan ini menyebabkan dia terus terlantar di atas katil.

“Saya harap dia cepat sembuh dan boleh kembali bekerja kerana dia satu-satunya pencari nafkah keluarga selepas suami saya meninggal dunia,” katanya kepada CNN Indonesia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sejauh manakah artikel ini memberi manfaat?