Raut wajah hampir sama, 5 lelaki janggal duduk semeja di majlis kahwin bekas kekasih


  • Benua
  • Isnin, 23 Jan 2023

Tangkap layar rakaman tular sekumpulan lelaki dipercayai bekas kekasih pengantin perempuan duduk semeja di majlis perkahwinan wanita tersebut. — Agensi

SATU rakaman video sebuah majlis perkahwinan menjadi tular di media sosial selepas pengantin perempuan dilaporkan menjemput bekas teman lelakinya dan menempatkan mereka di kerusi meja sama.

Menerusi rakaman tersebut, lima lelaki dipercayai bekas kekasih kepada pengantin perempuan duduk di meja sama dalam satu jamuan makan malam yang diadakan di Hubei, China.

Mereka kelihatan janggal dan tidak bercakap antara satu sama lain, hanya tunduk makan dan bermain telefon bimbit masing-masing, lapor Today Online.

Apa yang menarik perhatian, pengguna laman sosial, Weibo berpendapat, muka kesemua bekas kekasih wanita berkenaan mempunyai persamaan kerana mereka memiliki raut wajah hampir sama.

Video yang dimuat naik pada 9 Januari itu menerima 2.9 juta tontonan dan 4,000 tanda suka di Weibo.

Ada yang berpendapat, pengantin lelaki bersikap terbuka kerana tidak kisah dengan kehadiran bekas kekasih isterinya.

Ada juga berasakan video itu hanya satu bentuk prank kerana tanda nama di meja tersebut ditulis dengan tulisan tangan.

Pada Jun tahun lalu, seorang wanita di Guangdong menjadi sorotan media kerana menjemput sembilan lelaki dan mendudukkan mereka di meja khas untuk bekas kekasih.

Bagaimanapun, wanita itu memberitahu, kesemua lelaki berkenaan adalah rakan sepermainannya sejak kecil lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram