[VIDEO] Cacing pita 2 meter keluar dari perut 'balasan' makan daging mentah


  • Benua
  • Ahad, 15 Jan 2023

Amarit memberi amaran kepada orang ramai supaya elak makan daging mentah. — Agensi

SEORANG lelaki di Thailand memberi amaran kepada orang ramai supaya mengelak makan daging mentah selepas seekor cacing pita sepanjang 2 meter keluar daripada duburnya, lapor laman berita Thaiger pada Khamis.

Amarit Chuetamuen memuat naik video mengenai pengalaman pahit itu dalam akaun TikTok miliknya.

Dalam video pertama, Amarit memberitahu bahawa duburnya menjadi gatal dan kemudian merasakan sesuatu tergelincir keluar daripada saluran itu.

Seekor cacing parasit yang masih bergerak-gerak didapati keluar daripada duburnya.

Amarit mendakwa, perkara itu berlaku disebabkan dia kerap makan daging mentah yang menjadi hidangan kegemarannya.

Dalam video lain di media sosial, Amarit menunjukkan seekor cacing pita sepanjang 2 meter yang keluar daripada badannya.

“Hai semua! Hari ini, saya ingin memberi peringatan kepada semua orang yang menggemari daging mentah seperti saya. Lihat ini! Panjangnya hampir 2 meter.

“Saya makan daging lembu mentah selama dua hingga tiga tahun dan inilah yang berlaku kepada saya. Tidak percaya. Ini adalah cacing pita. Sangat panjang!

“Saya menggigil sekarang. Saya mengambil ubat anthelmintik malam tadi dan ini keluar pada waktu pagi,” katanya.

Salah satu hidangan kegemarannya ialah hirisan daging lembu mentah yang digandingkan dengan sos pencicah pedas dipanggil Soi Ju.

Ia merupakan hidangan kegemaran ramai penduduk tempatan di Thailand, terutamanya di wilayah Isaan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Awam Thailand memberi amaran kepada orang ramai supaya mengelak daripada memakan daging mentah terutama daging babi mentah.

Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) melaporkan tahun lepas pada November bahawa 101 rakyat Thailand di wilayah Isaan dijangkiti streptokokus suis, yang dikenali dalam kalangan rakyat Thai sebagai demam kehilangan pendengaran. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram