
DUA penumpang dilaporkan mengalami kecederaan selepas sebuah power bank dilaporkan terbakar ketika dalam penerbangan ke Singapura, hanya beberapa minit sebelum pesawat berlepas, lapor CNA pada Selasa.
“Penerbangan Scoot TR993, yang dijadualkan berlepas dari Taipei menuju ke Singapura pada 10 Januari, terpaksa kembali ke pintu masuk selepas power bank kepunyaan seorang penumpang menjadi panas ketika kapal terbang masih di landasan,” kata pihak Scoot kepada CNA.
Syarikat penerbangan berkenaan mengesahkan pesawat kembali ke laluan masuk dalam keadaan selamat.
Menurut Scoot lagi, pemilik pengecas mudah alih tersebut berserta rakannya mengalami kecederaan jari terbakar yang tidak serius dan bantuan perubatan telah diberikan.
“Kami akan menjadualkan semua penerbangan tersebut dan akan menyediakan tempat penginapan dan makanan kepada penumpang yang terlibat,” ujar Scoot lago.
Berdasarkan laporan media tempatan, pihak berkuasa lapangan terbang dimaklumkan mengenai kebakaran di dalam kabin ketika pesawat Scoot masih berada di landasan dan sedang melakukan persediaan untuk berlepas dari Lapangan Terbang Taoyuan di Taiwan kira-kira pukul 7.40 malam.
Ekoran itu, anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian dan kapal terbang tersebut dibenarkan kembali ke pintu masuk selepas api berjaya dipadamkan.
Menurut media tempatan, insiden tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan operasi pesawat-pesawat lain.
“Scoot sangat kesal dan meminta maaf atas insiden ini. Keselamatan pelanggan dan kru adalah keutamaan terbesar bagi pihak kami,” kata syarikat penerbangan tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan lanjut mengenai insiden tersebut masih dijalankan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram