[VIDEO] Sayup-sayup kedengaran suara meminta tolong sebelum puluhan ditimbus runtuhan salji


  • Benua
  • Isnin, 26 Dis 2022

Operasi menyelamatkan mangsa runtuhan salji di sebuah pusat peranginan ski di Austria. — Agensi

KEJADIAN runtuhan salji besar dilaporkan berlaku di sebuah pusat peranginan ski di wilayah Lech, Austria pada Ahad.

Menurut laporan Agensi Akhbar Austria (APA), sebanyak 10 mangsa dipercayai peluncur ski tertimbus di bawah runtuhan salji di kawasan meluncur Zurs.

Runtuhan salji itu melanda gunung Trittkopf antara Zurs dan Lechin pada ketinggian 2,700 meter, kira-kira pukul 3 petang, waktu tempatan.

Sebanyak enam helikopter dan pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus selepas insiden.

Rakaman kejadian runtuhan salji di kawasan meluncur salji di barat Austria pada Ahad. — Facebook

Kira-kira 200 petugas keselamatan terlibat dalam operasi mencari, dengan pasukan penyelamat meminta lampu limpah supaya mereka boleh meneruskan pencarian dalam gelap.

Laporan agensi berita APA memaklumkan selepas bertungkus lumus menjalankan operasi, kesemua 10 mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan itu.

Setakat ini, empat orang dilaporkan cedera dan mereka dikejarkan ke hospital berbeza. Seorang dibawa ke klinik Innsbruck manakala mangsa lain mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Bludez.

Identiti dan kewarganegaraan mangsa juga belum dikenal pasti buat masa ini.

322106842_1200188257373124_4859710085361649811_n

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan pada waktu malam dengan bantuan lampu limpah. — Agensi

Kejadian itu berjaya dirakam pengunjung resort ski yang merekodkan bagaimana runtuhan berlaku dengan sangat pantas dan menimbus mangsa yang berada di laluan runtuhan.

Dalam video itu, kedengaran sayup-sayup suara jeritan mereka meminta tolong sebelum hilang 'ditelan' salji tebal.

Sementara itu, APA turut memaklumkan, risiko runtuhan salji di banjaran Alps pada masa ini agak tinggi apabila suhu seperti musim bunga.

Suhu di kawasan itu pada bulan Disember boleh mencapai 2 darjah Celsius (°C) pada siang hari dan menurun hingga -6°C ketika waktu malam. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram