[VIDEO] Penculik umpan beli ayam goreng, bawa lari budak 6 tahun depan mata bapa


  • Benua
  • Ahad, 18 Dis 2022

Tangkap layar rakaman tular seorang budak perempuan diculik oleh pelanggan gerai bapanya. — Facebook

TULAR rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang budak perempuan enam tahun dikenali sebagai Malika Anastasya diculik seorang lelaki.

Menerusi video tular itu, kelihatan seorang lelaki berbaju hitam dan bertopi keluar dari sebuah kedai sebelum menghampiri kanak-kanak tersebut yang bermain berhampiran premis tersebut.

Dalam kejadian pada 7 Disember lalu, kanak-kanak itu dilarikan menaiki sebuah bajaj iaitu kenderaan bermotor beroda tiga yang banyak digunakan di Jakarta, Indonesia.

Ibu mangsa, Oni berkata, suaminya nampak anak mereka dibawa pergi oleh suspek, namun ketika itu tidak mengesyaki apa-apa kerana mereka saling mengenali.

"Anak sulung kami sedang menjaga warung di Sawah Besar dan ternampak adiknya ikut lelaki itu naik bajaj sebelum dia memberitahu kepada ayah.

"Suami saya hanya cakap mungkin mereka pergi membeli ayam goreng kerana biasanya begitu," katanya dalam program Kompas Petang Kompas TV pada Sabtu.

Oni memberitahu, lelaki tersebut yang bekerja sebagai pengutip barang kitar semula memang mengenali antara satu sama lain kerana dia sering berkunjung ke gerai makan mereka di Gunung Sahari, Jakarta.

Malah pada hari kejadian, suspek membeli nasi di gerai keluarga mangsa sebelum ke gerai ayam goreng bersama kanak-kanak berkenaan.

Menurut Oni, dia mula berasa risau kerana anak perempuannya masih belum pulang walaupun hari sudah petang sebelum meminta suami keluar mencari kanak-kanak itu.

Selepas menemui jalan buntu, Oni melaporkan kejadian itu kepada polisi pada 9 Disember 2022, dua hari selepas kejadian tersebut.

Ketua Polis Sektor Sawah Besar, Ajun Komisaris Patar Mula Bona berkata, polis masih memeriksa rakaman CCTV dan meminta keterangan daripada beberapa saksi di lokasi kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram