[VIDEO] 'Dah kenapa bang?' Tak tahu apa motif, gelandangan tiba-tiba hempuk budak 10 tahun dengan kerusi


  • Benua
  • Ahad, 11 Dis 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki duduk memerhatikan mangsa sebelum dia secara tiba-tiba bangun dan bertindak agresif.

SEORANG kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan parah di kepala selepas dibaling kerusi oleh seorang gelandangan di Mexico baru-baru ini.

Pada waktu kejadian, mangsa berusia 10 tahun sedang leka bermain permainan video di salah sebuah arked permainan video di bandar Durango.

Insiden menakutkan itu berjaya dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Dalam video tersebut, kelihatan gelandangan lelaki tersebut duduk memerhati mangsa sebelum dia secara tiba-tiba bangun mengambil kerusi dan terus membaling ke arah mangsa.

Akibat hentaman daripada kerusi itu menyebabkan mangsa pengsan kerana mengalami kecederaan serius di kepala.

Suspek kemudiannya dilihat terus beredar daripada lokasi kejadian.

Memetik laporan media antarabangsa, diariodelyaqui.mx, kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku yang melibatkan gelandangan.

Pada Mei lalu, seorang kanak-kanak lelaki turut mengalami kecederaan selepas seorang gelandangan secara tiba-tiba memukulnya menggunakan batu ketika mangsa sedang makan bersama ayahnya.

Sehubungan itu, penduduk tempatan menyeru pihak berkuasa untuk memandang serius tentang isu tersebut dan mengambil tindakan terhadap gelandangan yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan punca sebenar atau motif suspek bertindak sedemikian.

Mangsa kini masih mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital di Durango. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram