POLIS Indonesia baru-baru ini menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang disyaki membunuh anak perempuan teman wanitanya pada Sabtu.
Suspek dipercayai memukul mangsa berusia tiga tahun kerana marah dengan tindakan mangsa yang tidak sengaja membuang air besar di atas katil.
Kejadian itu berlaku di Pangsapuri Kalibata City, Pancoran, Jakarta Selatan, Indonesia.
Menurut Ketua Polis Metro Jakarta Selatan, Komisaris Besar Ade Ary, suspek dikenali sebagai 'S' ditahan selang beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.
"Suspek ditahan di rumahnya di Cibinong dan akan didakwa atas kesalahan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak sehingga membawa maut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Pancoran, Komisaris Panji Ali Candra mengesahkan kejadian dan penangkapan suspek.
"Kejadian itu berlaku pada pukul 4.30 petang Sabtu lalu dan waktu kejadian ibu kepada kanak-kanak malang itu keluar bekerja.
"Mangsa ditinggalkan bersama suspek sebelum kejadian.
"Hasil bedah siasat mendapati mangsa berkemungkinan maut akibat dipukul dan dihempas ke lantai," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram