[VIDEO] Bahana dadah pelik, Philadelphia seolah-olah diserang ‘zombie’


  • Benua
  • Rabu, 07 Dis 2022

Tangkap layar memaparkan keadaan individu yang kelihatan seperti 'zombie' di Philadelphia, Amerika Syarikat.

MEDIA sosial baru-baru ini kecoh dengan keadaan di bandar Philadelphia, Amerika Syarikat yang seakan-akan dihuni 'zombie'.

Keadaan tersebut berjaya dirakam menerusi sebuah video berdurasi 53 saat sebelum tular di media sosial.

Difahamkan, keadaan itu tidak pernah terjadi sebelum ini namun sejak dadah jenis baharu menyusup masuk ke negara itu menyebabkan penagih dadah kelihatan seperti mayat hidup atau lebih dikenali sebagai zombie.

Penularan dan pengambilan dadah tanpa kawalan menyebabkan penduduk di kawasan tersebut bimbang dengan keselamatan mereka.

Video tersebut memaparkan dengan jelas beberapa individu kelihatan terhuyung-hayang dan berada dalam posisi pelik selain tidak dapat mengawal diri dengan baik.

Apa yang lebih membimbangkan penduduk di kawasan tersebut adalah penularan virus zombie yang ditemui saintis Eropah baru-baru ini.

Bagaimanapun, kejadian itu disangkal pihak berkuasa kerana individu yang kelihatan seperti zombie itu disebabkan pengambilan dadah jenis Zombie Drugs atau lebih dikenali sebagai Flakka.

Flakka atau nama saintifik alpha-pyrrolidinopentiophenone merupakan sejenis dadah baharu dihasilkan sebagai ubat sintetik, namun dilarang penggunaannya selepas doktor menemui kesan berbahaya kerana ia boleh menyebabkan pengguna berada dalam fasa ilusi akut.

Dadah ini akhirnya dikategorikan sebagai dadah paling berbahaya dan ia mempunyai kesan sampingan seakan kokain dan amphetamine namun lebih agresif serta membawa maut.

Terdahulu, sekumpulan saintis Eropah menemukan beberapa sampel virus zombie termasuk berusia 48,500 tahun lalu yang tertanam di bawah permukaan ais di Siberia, Rusia.

Saintis mengkaji sampel purba berkenaan dan menemukan 13 jenis virus zombie.

Kajian Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis yang diketuai Jean-Marie Alempic mendedahkan, satu daripada virus itu masih boleh berjangkit selepas terperangkap dalam ais lebih 48,500 tahun lalu.

Virus yang dikenali sebagai pandoravirus hanya menjangkiti organisma sel tunggal dan tidak boleh memberikan risiko ancaman kepada manusia.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram