KEBERANIAN seorang pelajar Muslim sebuah universiti di India menyuarakan pendapat selepas digelar sebagai pengganas, menerima pujian netizen baru-baru ini.
Terdahulu, pelajar yang melanjutkan pelajaran di Manipal Institute of Technology (MIT), Kartanaka, Manipal itu marah selepas digelar sebagai pengganas oleh pensyarah ketika sesi kuliah.
Rakaman video 45 saat itu juga turut tular di sosial media dan mengundang perhatian warga maya.
Video tersebut menunjukkan pelajar berbaju biru itu meluahkan rasa kecewa selepas pensyarah berkenaan membuat lawak melabelkan dirinya sebagai pengganas.
Walaupun kedengaran pensyarah tersebut cuba meminta maaf namun keadaan dilihat menjadi semakin tegang kerana bagi pelajar tersebut perkataan 'maaf' itu tidak akan mengubah cara pendidik itu berfikir.
"Tidak, tidak, tuan, perkara ini tidak lucu. Menjadi seorang Muslim di negara ini dan menghadapi semua ini setiap hari tidak lucu.
"Adakah anda akan bercakap dengan anak anda seperti itu? Adakah anda panggil dia dengan nama pengganas?
"Bagaimana anda boleh memanggil saya seperti itu? Di hadapan ramai orang? Di dalam kelas. Anda seorang profesional, anda sedang mengajar.
"Maaf tidak mengubah cara anda berfikir atau bagaimana anda menggambarkan diri anda di sini," katanya.
Setakat berita ini ditulis, memetik laporan media antarabangsa TPI, kedua-dua pelajar dan pensyarah terbabit sudah menyelesaikan pertelingkahan tersebut secara aman bersama-sama pihak atasan universiti. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram