[VIDEO] Ajal tak sampai sesaat, penunggang Aprilia RS 660 melambung ke udara sondol ‘buntut’ teksi tak berlampu malam buta


  • Benua
  • Khamis, 24 Nov 2022

Mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah dalam nahas di Taipei City, Taiwan baru-baru ini. — Agensi

SEORANG pemuda maut dalam kemalangan selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang seorang diri merempuh belakang sebuah teksi di Lebuhraya 64, Bandar New Taipei City, Taiwan baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.57 malam itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Chi, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Difahamkan pada waktu kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Aprilia RS 660 sedang memecut laju di laluan kiri lebuh raya berkenaan sebelum merempuh teksi tersebut. Impak perlanggaran itu menyebabkan mangsa terpelanting beberapa meter sebelum mati.

Pemandu dan penumpang teksi berkenaan pula hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Hasil siasatan awal polis mendapati punca kejadian itu disebabkan lampu belakang teksi yang tidak bernyala dan mangsa hanya menyedari kehadiran teksi tersebut dalam jarak yang sangat dekat.

Sementara itu, ayah mangsa yang dipetik laporan media antarabangsa meluahkan rasa sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya.

"Saya tahu anak saya memecut motosikalnya dengan laju tapi kalaulah teksi berkenaan menyalakan lampu belakangnya, berkemungkinan besar anak saya dapat melihat teksi warna hitam itu pada waktu malam," katanya.

Setakat berita ini ditulis, pemandu teksi berkenaan sudah ditahan pihak berkuasa tempatan dan boleh didenda antara RM437.83 (NT$3,000) dan RM875.66 (NT$6,000) atas kesalahan Akta Jalan Raya 33. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram