Bakal ibu, sila ambil tahu 4 punca bayi mati dalam kandungan


  • Sihat
  • Ahad, 20 Nov 2022

Sesetengah penyakit yang dihidapi ibu seperti diabetes kadangkala boleh menyebabkan bayi kelahiran mati. — Agensi

KELAHIRAN mati atau lebih dikenali dengan stillbirth adalah satu keadaan yang mana bayi meninggal di dalam rahim beberapa minggu atau beberapa jam sebelum atau selepas ibu mengalami sakit bersalin.

Mungkin masih ada yang keliru di antara kejadian kelahiran mati dengan keguguran janin, ia adalah dua perkara yang berbeza.

Menurut Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Dr. Atiqah Shazwani Ahad , stillbirth adalah satu keadaan janin yang terbentuk meninggal dunia di dalam kandungan ibu selepas 20 minggu kehamilan atau sebaik lahir.

"Selain itu, keguguran janin ialah proses kehamilan yang berakhir dengan sendirinya dalam tempoh 20 minggu usia kandungan.

"Pada masa sama, agak sukar untuk mengenal pasti punca kelahiran mati kecuali dilakukan autopsi ke atas bayi itu," katanya kepada Majoriti.

atiqah

Dr. Atiqah Shazwani Ahad

Tambah Dr. Atiqah lagi, antara faktor yang boleh menyumbang kepada kelahiran mati ialah :

1. Plasenta yang tidak sihat

Plasenta adalah saluran darah yang menghubungkan bayi dengan ibu. Plasenta sangat penting kerana membekalkan oksigen dan nutrisi kepada bayi. Sekiranya plasenta tidak sihat maka janin juga akan terjejas sekali gus boleh menyebabkan kematian kepada janin.

2. Masalah kromosom

Kromosom adalah pembentukan genetik manusia yang berlaku semasa pembentukan awal janin dan manusia yang normal akan mempunyai 23 pasang kromosom.

Menurut kajian, hampir 50 peratus kes keguguran spontan pada peringkat tiga bulan pertama disebabkan oleh masalah kromosom yang tidak normal atau kecacatan struktur anggota bayi. Oleh sebab itu bayi yang meninggal di dalam kandungan turut dikaitkan dengan kecacatan, namun punca ini tidak terlalu kuat.

3. Jangkitan kuman

Ibu hamil mudah mendapat jangkitan kuman kerana kerap kencing dan mengeluarkan cecair daripada vagina. Sehubungan itu kuman boleh masuk melalui vagina ke rahim dan seterusnya kepada janin sekali gus boleh menyebabkan jangkitan kuman.

4. Ibu yang mempunyai penyakit kencing manis

Individu mengandung yang tidak mengawal gula ketika mengandung berisiko membahayakan nyawa bayinya sendiri. Sebab itu ibu perlu menjalani rawatan sekiranya disahkan menghidap diabetes kerana ia menyebabkan bahaya bukan saja kepada ibu tetapi bayi mereka.

Walaupun dalam kebanyakan kes kelahiran mati tandanya tidak ditunjukkan dengan jelas, namun ibu harus peka terhadap pergerakan bayi mereka. Memang diakui ada ketika pergerakan bayi perlahan namun sekiranya ibu mendapati bayinya tidak bergerak untuk satu jangka masa yang panjang seharusnya, segeralah berjumpa doktor. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram