SEORANG wanita tergamak membakar ibu tirinya hingga warga emas itu melecur satu badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Lebih menyayat hati, perbuatan itu dilakukan terhadap mangsa yang berumur 60 tahun ketika selesai menunaikan solat Subuh dan masih bertelekung.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi, Jumaat (11 November) di Labuhanbatu Selatan, Sumatera Utara, Indonesia, suspek dan ibu tirinya dikatakan terlibat dalam pertengkaran namun tidak dapat dipastikan sebabnya.
Ketua Polis Daerah Kanan Labuhanbatu, Ajun Komisaris Heri Sugiharto berkata, seorang lagi anak tiri mangsa yang tinggal berdekatan terdengar kekecohan dari rumah ibunya sebelum mendapati berlaku kebakaran di kediaman wanita tersebut.
"Kedua-dua anak tirinya itu cuba memadamkan api tetapi malangnya, warga emas itu tidak dapat diselamatkan," katanya seperti dipetik Detiksumut.
Katanya, jenazah mangsa dikenali sebagai Nurhayati Dalimunthe dibawa pulang ke kampung halamannya di Rantauprapat, Labuhanbatu untuk dikebumikan.
Salah seorang saudara mangsa, Elisdawati mendedahkan, keadaan mayat itu sangat menyedihkan dengan kesan melecur pada seluruh badan termasuk kepala.
Dia mendakwa, suspek mungkin mengalami masalah mental berdasarkan tingkah lakunya.
"Selama ini, saya dengar mereka baik-baik sahaja. Hubungan mangsa dan suspek juga baik. Cuma baru-baru ini, saya dengar dia agak tertekan," katanya.
Sementara itu, menurut laporan Tribunnews pada Isnin, difahamkan suspek, Diana Hasibuan, 48, mengalami kemurungan.
Diana dilaporkan dilucutkan daripada jawatan sebagai Ketua Pusat Kesihatan Masyarakat Hutagadong yang disandang dari 2013, kira-kira dua bulan lalu.
Diana dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pusat Kesihatan Masyarakat Hutagadong. — Agensi
Setelah digugurkan daripada jawatan itu, Diana ditempatkan di Pusat Kesihatan Maysarakat Tanjung Medan di Labuhanbatu Selatan sebagai petugas kesihatan biasa.
Heri mengesyaki faktor berkenaan menyebabkan suspek mengalami tekanan psikologi dan mental.
Polis turut mengesyaki suspek juga sebenarnya berniat mahu membunuh diri dengan menyiram petrol pada tubuhnya.
Bagaimanapun percikan api dikatakan terkena mangsa mengakibatkan wanita itu terbakar dan meninggal dunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram