SEORANG lelaki di Rusia mengalami detik cemas apabila tersekat di dalam sebatang paip pembetung selebar 30 sentimeter selepas memanjat masuk ke dalamnya tanpa sebab munasabah, lapor akhbar Daily Star pada Jumaat.
Anggota penyelamat terpaksa mengambil masa selama tujuh jam untuk mengeluarkan Evgeny Titov, 21, dari paip pembetung itu di sebuah tempat letak kereta di Lapangan Terbang Pulkovo, Saint Petersburg, Rusia.
Titov melakukan perjalanan ke Saint Petersburg untuk melawat seorang rakan, tetapi mendakwa bahawa dia tidak ingat bagaimana boleh masuk ke dalam paip itu.
Dia merangkak sejauh 12 meter (m) di sepanjang pembetung sebelum tersekat dan terpaksa meminta bantuan.
Operasi menyelamatkan mangsa melibatkan pemotongan tar, menggali lubang sedalam enam meter dan membuka paip pembetung untuk membebaskan Titov yang tidak berbaju.
Dia dibawa ke unit rawatan rapi sebuah hospital tempatan untuk dirawat akibat hipotermia dan kemudian dipindahkan ke jabatan lain.
Agensi penguatkuasaan undang-undang percaya Titov mabuk ketika kejadian namun, dia menafikan perkara itu.
Media tempatan melaporkan bahawa Titov mungkin perlu bertanggungjawab dari segi kos atas segala kerosakan akibat tindakannya itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram