[VIDEO] Baring berdua-duaan atas sejadah, pasangan kekasih kena tangkap basah di mihrab masjid


  • Benua
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Tangkap layar rakaman tular dua remaja ditangkap basah di sebuah masjid di Jawa Barat, Indonesia. — Agensi

SEPASANG kekasih ditangkap basah oleh penduduk ketika sedang berdua-duaan di sebuah masjid.

Kedua-dua remaja itu dicekup berbuat demikian berhampiran mihrab tempat imam mengimamkan solat berjemaah.

Serbuan ke atas pasangan kekasih itu sempat dirakam penduduk dan menjadi tular selepas tersebar luas di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi 15 saat itu, kelihatan remaja perempuan berbaring di atas sejadah dengan sebahagian kakinya ditutup selimut berwarna putih.

Sementara itu, teman lelakinya pula berbaring di sebelah sebelum bingkas bangun apabila ditegur oleh penduduk yang merakam perbuatan mereka.

Remaja lelaki itu dilihat duduk bersandar di dinding sebelum mencapai topi dan cepat-cepat bangun sambil diikuti kekasihnya. Turut kelihatan dalam rakaman ialah seorang lagi remaja perempuan lain berseluar pendek paras paha.

Berdasarkan rakaman video yang dimuat naik semula ke akaun Instagram, @terangmedia, dinyatakan bahawa kejadian itu berlaku di sebuah masjid di Purwakarta, Jawa Barat, Indonesia.

“Siapa suruh kamu tidur dengan perempuan di masjid ini, siapa yang boleh saya tanyakan?,” ​​tegur lelaki yang merakam video itu dengan nada suara marah.

Walaupun tidak melakukan perbuatan kurang senonoh, perakam tetap memarahi remaja berkenaan dan menghalau mereka keluar dari masjid.

"Saya halau mereka, saya akan tularkan video ini," katanya memetik laporan suarakaltim.id pada Jumaat.

Susulan penularan video itu, rata-rata netizen menganggap surau dan masjid wajar dikunci selepas urusan ibadah kerana dikhuatiri disalahgunakan untuk aktiviti maksiat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram