[VIDEO] Budak maut dirempuh pemandu trak pikap mabuk ketika bersarapan dengan ibu


  • Benua
  • Selasa, 08 Nov 2022

Tangkap layar memaparkan sebuah trak pikap yang dipandu pemandu mabuk hilang kawalan lalu merempuh mangsa.

TULAR satu video menyayat hati memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut setelah dilanggar pemandu mabuk pada Selasa.

Kejadian tersebut berlaku di daerah Mueang, wilayah Buriram, Thailand.

Ketika kejadian,mangsa sedang bersarapan bersama ibu, Patcharawan Petchlert dan adik perempuannya di luar kedai. Tiba-tiba, datang sebuah trak pikap hilang kawalan yang terbabas lalu merempuh kanak-kanak lelaki itu.

Ibu mangsa sempat menarik adik perempuannya lalu berjaya mengelak daripada dilanggar pemandu mabuk berkenaan, namun gagal menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Balai Polis Bandar Buriram, Leftenan Kolonel Inkarat Suktam berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan tersebut kira-kira pada pukul 8 pagi.

"Sekumpulan polis dikerahkan ke tempat kejadian dan kami dimaklumkan kemalangan itu berpunca daripada pemandu trak pikap jenis Nissan hilang kawalan.

"Menurut saksi kejadian, budak lelaki dikenali sebagai Nong Stamp mengalami kecederaan parah impak perlanggaran itu dan ayahnya bergegas membawa mangsa ke hospital.

"Namun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

"Pihak polis kini sedang mengesan suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian," katanya.

Dalam perkembangan lain, ibu mangsa menceritakan semula kejadian itu berlaku.

Memetik laporan media antarabangsa USA Crime, Patcharawan berasa terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan anaknya itu.

"Ketika kejadian mereka sedang bersarapan dan dia tidak sempat menarik anaknya ke tempat yang selamat.

"Pemandu itu juga melarikan diri tanpa meminta maaf. Saya harap suspek dapat ditangkap dan menerima hukuman yang setimpal dengan segera," katanya.

Setakat berita ini ditulis, pihak polis masih mengesan pemandu mabuk berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram