SEPERTI watak filem ejen perisik James Bond, seorang bekas pegawai biro perisikan India (IB) yang sudah bersara maut selepas dilanggar sebuah kereta di wilayah Mysuru, Karnataka, India pada Jumaat lalu.
Pihak berkuasa tempatan mengesyaki insiden langgar lari tersebut merupakan pembunuhan yang dirancang.
Pesuruhjaya Polis Mysuru, Chandragupta berkata, ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai RK Kulkarni sedang bersiar-siar di kampus Universiti Manasaganggotri Mysuru, pada petang Jumaat sebelum sebuah kereta tiba-tiba melanggarnya dari belakang.
"Jalan tersebut jarang dilalui kenderaan besar kerana laluannya yang agak sempit. Kami mengesyaki pembunuh tersebut mengekori mangsa sejak awal lagi.
"Impak dari perlanggaran itu menyebabkan mangsa, seorang warga emas berusia 82 tahun terpelanting ke bahu jalan," katanya.
Tambah Chandragupta, tiga pasukan polis sudah dikerahkan untuk mengesan suspek dan pihaknya juga sedang menjalankan siasatan terperinci untuk memastikan motif sebenar pembunuhan itu berlaku.
Memetik laporan media antarabangsa NDTV, Kulkarni bersara kira-kira 23 tahun lalu selepas berkhidmat di Biro Perisikan India selama lebih tiga dekad. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram