[VIDEO] Imran Khan cedera ditembak di kaki ketika ketuai perarakan politik


  • Benua
  • Khamis, 03 Nov 2022

Imran mengetuai perarakan bagi menggesa pilihan raya diadakan segera selepas beliau disingkirkan dari pejabatnya sebelum ini. — Agensi

BEKAS Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan cedera ditembak ketika menyertai satu perarakan politik menentang pentadbiran yang menggantikannya.

Parti politik yang dianggotai Imran, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), memaklumkan bahawa pemimpin berusia 70 tahun itu ditembak di kaki dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengesahkan insiden tembakan itu dan memaklumkan ada orang awam turut mengalami kecederaan.

Shehbaz mengutuk tindakan itu dan berkata, kes itu akan disiasat.

PTI berkongsi video yang dikatakan menunjukkan Imran, melambai kepada penyokong selepas dia ditembak.

Rakaman itu menunjukkan dia berdiri dan melambai manakala seorang pengawal bersenjata berdiri di hadapannya.

Asad Umar, pembantu Imran memberitahu Reuters bahawa pemimpin itu dan beberapa orang lain cedera dalam tembakan tersebut.

"Seorang lelaki melepaskan tembakan dengan senjata automatik. Beberapa orang cedera. Imran juga cedera," katanya.

Sementara itu, pembantu kanannya, Raoof Hasan menyifatkan serangan itu sebagai satu percubaan untuk membunuh Imran.

Tambahnya, penyerang pertama telah ditembak mati manakala penyerang kedua ditahan polis.

Imran mengetuai perarakan sejak Jumaat lalu dari bandar Lahore ke arah ibu negara Pakistan, Islamabad bagi menggesa pilihan raya diadakan segera selepas beliau disingkirkan dari pejabatnya sebelum ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram