[VIDEO] Ahli politik langgar lari budak sampai kepala berjahit masih bebas, ibu tuntut keadilan


  • Benua
  • Khamis, 03 Nov 2022

Tangkap layar video kanak-kanak itu dilanggar oleh Toyota RAV4 iaitu kenderaan yang dipandu Mamontov.

SEBUAH video tular sejak awal minggu ini menunjukkan seorang ahli politik Rusia meninggalkan kanak-kanak lelaki yang cedera akibat dilanggar oleh kenderaannya.

Tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh ahli politik itu mendapat kecaman orang ramai di media sosial, lapor portal Kyiv Post pada Selasa.

Aksi Sergey Mamontov, 67, Ahli Parlimen yang mewakili parti Rusia Bersatu pimpinan Putin di Tatarsk, Wilayah Novosibirsk, Rusia itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam rakaman itu menyaksikan kanak-kanak malang terbabit dilanggar oleh Toyota RAV4 iaitu kenderaan yang dipandu Mamontov.

Menerusi rakaman itu, mangsa dilihat melintasi jalan yang sunyi sebelum Mamontov membelok ke selekoh dan merempuh kanak-kanak terbabit.

Berdasarkan video itu, Mamontov dilihat berjalan ke arah budak lelaki yang dilihat berguling-guling dipercayai dalam kesakitan yang teruk.

Namun, tindakan Mamontov mendapat kecaman apabila dia dilihat mengangkat tangannya sebelum masuk semula ke dalam kereta dan memandu pergi.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dipercayai anak kepada Svetlana Chernomorova, 35, yang bekerja sebagai pegawai pejabat pendakwa Wilayah Novosibirsk, Rusia.

Ibu kanak-kanak itu menuntut kes terbabit dibuka semula.

Mamontov difahamkan tidak melaporkan kejadian itu kepada polis serta tidak menghubungi ambulans dan masih belum ditahan.

Sehingga kini, kanak-kanak lelaki itu dikatakan berada dalam keadaan stabil dan menerima jahitan pada kecederaan di kepala serta mengalami cedera di perut.

Ibu kanak-kanak itu mengesahkan anaknya mengalami kecederaan kepala dan pinggul akibat kejadian langgar lari itu.Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram