Detik cemas rakaman kedai kopi bergegar dibedil peluru berpandu


  • Benua
  • Sabtu, 29 Okt 2022

Tangkap layar rakaman serangan peluru berpandu Rusia berhampiran sebuah kedai kopi yang berjaya di rakaman CCTV. — Agensi

PENCEROBOHAN Rusia ke atas Ukraine memasuki hari ke-247 dan negara itu mengalami kerugian infrastruktur yang besar.

Berjuta-juta rakyat Ukraine terkesan akibat perang dan menjalani kehidupan sebagai pelarian.

Menurut laporan Guardian, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa Rusia melancarkan lebih 8,000 serangan udara dan menembak 4,500 peluru berpandu.

Serangan peluru berpandu dan dron itu merosakkan rangkaian elektrik Ukraine, menyebabkan bekalan elektrik terputus secara meluas sejak dua minggu lalu.

Satu insiden serangan peluru berpandu berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah kedai kopi dan video itu tular di media sosial.

Menerusi video itu, seorang pekerja kedai dilihat sedang memproses pesanan pelanggan sebelum satu serangan peluru berpandu jatuh hanya beberapa meter dari premis berkenaan.

Dentuman kuat kedengaran daripada rakaman itu yang turut menunjukkan kekuatan serangan senjata tersebut hingga menggegarkan kedai dan mengakibatkan sebahagian barang jatuh dari rak.

Pekerja wanita dan pelanggan tersebut juga dilihat meninggalkan premis berkenaan dengan segera untuk menyelamatkan diri. Kelihatan juga pekerja terbabit sempat berpatah balik mengambil barang di sebelah mesin juruwang sebelum keluar dari premis.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan Rusia menggerakkan 300,000 anggota simpanan dalam masa lebih sebulan untuk menyertai serangan Moscow di Ukraine, kata seorang pegawai tinggi pada Jumaat.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan pengerahan sebahagian tentera simpanan bulan lalu untuk menyokong anggota di Ukraine, yang menyaksikan Rusia mengalami kekalahan baru-baru ini.

“Tugas merekrut 300,000 anggota simpanan selesai,” kata Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu, dalam pertemuan dengan Putin yang disiarkan di televisyen.

Shoigu menambah, tiada anggota tentera tambahan digerakkan namun proses merekrut sukarelawan dan anggota tentera di bawah kontrak masih berjalan.

Katanya, 82,000 orang digerakkan berada ke Ukraine dengan 41,000 daripada mereka dikerahkan ke unit tentera. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram