[VIDEO] Bot terbakar, ibu 'kamikaze' nekad terjun tengah laut sambil peluk erat bayi


  • Benua
  • Rabu, 26 Okt 2022

TANGKAP layar video menunjukkan pasukan keselamatan menyelamatkan seorang wanita dan bayinya selepas terjun ke dalam laut susulan insiden bot terbakar di Kupang.

PASUKAN keselamatan yang melakukan operasi mencari serta menyelamat (SAR) Kupang, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia berjaya menyelamatkan seorang bayi dan ibunya yang didakwa terjun ke dalam laut ketika bot penumpang KM Express Cantika 77 terbakar pada Isnin.

Bot itu terbakar ketika berada di luar pesisir Pulau Timor di NTT, Indonesia yang menyebabkan para penumpang panik dan terpaksa terjun ke dalam laut bagi menyelamatkan diri.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 13 maut dan 241 penumpang terselamat.

Ketika kejadian, bot itu membawa seramai 254 penumpang termasuk kru.

Menurut Ketua Pejabat SAR Kupang I, Putu Sudayana, wanita tersebut memeluk erat bayinya ketika terjun ke dalam laut dan berpaut pada pelampung keselamatan.

“Ibu dan bayi tersebut berjaya diselamatkan ketika pasukan keselamatan tiba di lokasi kejadian.

“Kami bersyukur keadaan mereka juga stabil dan tidak mengalami kecederaan, selain kepenatan,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.

Kebakaran itu bermula di bahagian dek atas ketika bot tersebut belayar dari Kupang ke bandar Kalabahi di Pulau Alor.

Punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan pihak berkuasa akan melakukan siasatan terperinci.

Kebanyakan mangsa yang terselamat dilaporkan memakai jaket keselamatan, manakala sebahagian lagi berenang ke pantai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram