[VIDEO] 'Trigger' dengar tangisan, lelaki tergamak hempas bayi usia 4 bulan


  • Benua
  • Ahad, 23 Okt 2022

Tangkap layar penahanan suspek yang dilakukan oleh pihak polis dan penduduk kampung.

SEORANG lelaki di Maros, Sulawesi Selatan, Indonesia ditahan selepas menganiayai bayi berusia empat bulan sehingga mati.

Insiden itu terjadi sekitar pukul 4.00 pagi waktu Indonesia di Desa Mattoanging, daerah Bantimurung, Maros pada Sabtu.

Lelaki berusia 23 tahun itu membunuh mangsa yang juga merupakan anak saudaranya dengan membanting ataupun menghempap bayi tersebut.

Menurut laporan dari net2news, tindakan suspek itu berlaku selepas dia berang dengan tangisan bayi tersebut sehingga menghempasnya dan mengakibatkan isi kepalanya terkeluar.

Sekitar pukul 4.15 pagi, nenek mangsa berusaha untuk membantu bayi tersebut namun suspek menolaknya.

Kejadian menyayat hati itu disahkan sendiri oleh Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Maros, Iptu Slamet yang mengatakan suspek merupakan ayah saudara mangsa.

“Suspek adalah abang kepada ibu mangsa. Ibu mangsa disahkan menghidap gangguan mental.

"Daripada maklumat yang dikumpul, dia (mangsa) dihempap ​​(mati). Bayi ini belum ada nama. Ibu bapanya belum memberikan nama lagi," jelasnya.

Polis ingin melakukan bedah siasat ke atas mangsa tetapi keluarga bayi tersebut menolaknya.

Tambah Slamet, bayi malang itu telah dikebumikan di kampung halaman bapanya, daerah Gowa.

Suspek ditahan polis untul siasatan lanjut, namun motif di sebalik pembunuhan sadis itu masih belum diketahui. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram