SEORANG anggota bomba maut selepas ditembak seorang wanita dalam satu kejadian di Missouri, Amerika Syarikat yang tular sejak Jumaat.
Difahamkan, kejadian berlaku pada 6 Oktober lepas selepas wanita terbabit dikatakan panik melihat teman lelakinya dibelasah anggota bomba tersebut.
Kejadian berjaya dirakam menerusi sebuah video berdurasi 27 saat yang memaparkan pergaduhan antara kedua-dua lelaki terbabit sebelum tular di media sosial.
Punca pergaduhan dipercayai akibat salah faham sebelum teman lelaki wanita terbabit bertindak mengacu sepucuk pistol.
Anggota bomba berusia 41 tahun terbabit kemudiannya mempertahankan diri dengan bergelut dengan lelaki berusia 23 tahun tersebut sebelum wanita itu mengambil pistol berkenaan.
Akibat panik melihat teman lelakinya tidak mampu bernafas dalam pergaduhan tersebut, wanita terbabit kemudiannya melepaskan tembakan.
Tembakan tersebut menyebabkan anggota bomba terbabit terbunuh di lokasi. Difahamkan, wanita itu telah ditahan untuk siasatan sementara menanti perbicaraan kes.
Namun, terdapat satu laporan mengatakan wanita itu bakal terlepas hukuman atas dakwaan sekadar mempertahankan diri.
"Secara teknikal, wanita itu panik dan cuba mempertahankan diri selepas berulang kali mendesak anggota bomba itu menghentikan pergaduhan," lapor FOX4KC.
Dalam pada itu, rata-rata netizen mengutuk tindakan wanita terbabit yang bertindak di luar kawalan.
"Kejadian tidak sepatutnya berlaku dan inilah sebab senjata api tidak boleh diberikan kepada mana-mana individu sewenang-wenangnya," jelas Jesicca.
"Punca kejadian disebabkan tindakan teman lelaki wanita terbabit yang tidak berpuas hati dan mengacukan pistol kepada anggota bomba tersebut. Namun, anggota bomba pula terkorban," luah Braddy.
"Harap ada tindakan sewajarnya dikenakan terhadap wanita terbabit kerana kejadian ini menyebabkan kehilangan nyawa," jelas Marc.
"Satu kehilangan besar untuk pasukan bomba, sedih sekiranya anggota terbabit mempunyai anak dan isteri," kata Jammie. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram