[VIDEO] Detik ngeri jambatan runtuh, lari bertempiaran tak cukup tanah


  • Benua
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Tangkap layar memaparkan keadaan dua lori selepas kejadian jambatan runtuh di Filipina pada Khamis.

EMPAT orang cedera dalam kejadian jambatan runtuh yang meranapkan dua buah lori di Bayambang, Pangasinan, Filipina pada petang Khamis.

Menurut kenyataan Datuk Bandar Bayambang, Nina Jose Quiambao, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang di Jambatan Carlos P. Romulo itu, kedua-dua lori itu sedang melintasi jambatan sebelum runtuhan berlaku.

Insiden tersebut turut dirakamkan kamera yang dipasang di jambatan tersebut dan menunjukkan detik-detik runtuhan serta aksi pemandu serta penumpang beberapa kenderaan lain menyelamatkan diri.

Jambatan itu merentasi Sungai Agno yang menghubungkan kampung Wawa dan San Vicente di bandar itu.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Akibat kejadian itu, laluan tersebut ditutup dari kedua-dua arah dan pengguna jalan raya diminta untuk mencari alternatif lain bagi menuju ke destinasi masing-masing.

Kerajaan tempatan mengarahkan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Bajun CHarlie Junio Bato, yang tinggal di kawasan berhampiran berkata, penduduk terdengar bunyi dentuman yang kuat apabila runtuhan tersebut berlaku.

Pihak berkuasa meminta untuk orang ramai agar mengelak daripada mendekati jambatan runtuh itu selepas rekahan timbul di bahagian lain struktur jambatan berkenaan.

Pada April lepas, empat orang, termasuk seorang warga asing maut apabila jambatan di bandar Loay, wilayah Bohol runtuh. Sekurang-kurangnya 23 yang lain cedera dalam tragedi itu.

Kesemua mereka berada dalam 12 kenderaan yang terjatuh ke dalam Sungai Loboc apabila Jambatan Clarin memberi laluan. Jambatan itu telah menjalani pengubahsuaian selepas gempa bumi berukuran 7.2 magnitud yang melanda Bohol pada 2013. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

jambatan runtuh, lori, Filipina, benua, tular