'Bermainlah di syurga' — netizen titip doa buat 2 budak maut tertimbus tanah runtuh di Kota Kinabalu


  • 112
  • Khamis, 28 Jul 2022

Rumah yang didiami sembilan penghuni runtuh selepas dihempap tanah runtuh dalam kejadian berhampiran kawasan rumah pangsa Taman Elok Bukit Nenas, Kota Kinabalu. — Ihsan JBPM

DUA kanak-kanak maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di sebuah rumah kayu berhampiran kawasan rumah pangsa Taman Elok Bukit Nenas, di Kota Kinabalu, Sabah, pada malam Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Nuraiz Julaziz, 11 dan sepupunya Isa Sabri, 2, dilaporkan meninggal dunia akibat runtuhan berkenaan manakala dua lagi mangsa, Sabri Botong, 28 dan isterinya Siti Nur, 28, mengalami kecederaan pada kaki dan tangan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.26 malam.

Katanya, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu membabitkan 10 anggota bersama BBP Lintas seramai 12 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tujuh kilometer.

"Kejadian membabitkan tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di bawah bukit yang didiami sembilan sekeluarga.

"Lima penghuni sempat menyelamatkan diri tetapi empat lagi mangsa iaitu tiga termasuk dua beranak tertimbus dalam tanah dan pokok manakala seorang lagi cedera di bahagian kaki.

"Kanak-kanak berusia dua tahun telah dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi manakala dua mangsa perempuan dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan bantuan orang awam kira-kira pukul 9 malam," katanya pada Khamis.

Katanya lagi, anak kepada pasangan suami isteri terbabit bersama sepupu kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di hospital.

"Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 10 malam selepas kawasan dipastikan selamat," katanya.

Sementara itu, seorang netizen, Adamhawa Adamhawa menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa sambil menitipkan doa buat mereka.

"Salam takziah buat keluarga arwah, bermainlah anak-anak syurga di taman syurga yang ALLAH sediakan buat kamu, Al-Fatihah," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram