Dua pekerja kuari tertimbus di Keramat Pulai, cebisan tulang antara ditemukan selepas 7 bulan


  • 112
  • Selasa, 20 Sep 2022

Bangkai jengkaut itu ditemukan pada pukul 11.45 pagi Selasa, manakala cebisan tulang dan baju ditemukan kira-kira setengah jam kemudian. — Gambar Astro Awani

CEBISAN tulang dan baju serta bangkai jengkaut ditemukan pada Selasa di lokasi dua pekerja kuari yang dikhuatiri tertimbus pada Mac lepas di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Perak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, Azmi Osman berkata, bangkai jengkaut itu ditemukan pasukan pencari dan penyelamat melibatkan pihaknya, polis serta pasukan Jabatan Mineral dan Geosains pada pukul 11.45 pagi Selasa, manakala cebisan tulang dan baju ditemukan kira-kira setengah jam kemudian.

"Bangkai jengkaut serta cebisan baju tulang dan baju ditemui pada kedalaman 10 hingga 15 kaki (3.05 hingga 4.6 meter) pada jarak titik pencarian sebelum ini.

"Cebisan tulang dan baju yang ditemukan itu masih belum dapat dipastikan milik siapa," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Dalam kejadian pada 8 Mac lepas, dua pekerja kuari yang dipercayai tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati, kerja-kerja pencarian sedang dijalankan oleh pasukan mencari dan menyelamat ketika ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram