KUBAH masjid yang tersergam indah terbakar dan runtuh dipercayai berlaku pada petang Rabu di Jakarta.
Kejadian tersebut berjaya dirakamkan oleh saksi dan dikongsikan di laman Instagram milik Humasjakfire.
Kebakaran yang melanda Masjid Jakarta Islamic Centre, Koja, Jakarta Utara bermula pada pukul 3.15 petang dan dilaporkan kepada Pasukan Bomba Jakarta Utara pada pukul 3.22 petang Rabu.
Ketua Sub Bahagian Penerangan dan Komunikasi Pusat Islam Jakarta, Paimun Karim berkata, jemaah yang berada di dalam masjid segera bergegas keluar apabila menyedari api marak tersebut dan sebahagian mereka sempat menyelamatkan beberapa barang di dalam masjid tersebut.
Sekitar satu jam kebakaran tersebut melanda, kubah masjid yang didirikan itu mula runtuh.
Menurut laporan CNN Indonesia, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan pada pukul 5.00 petang.
Tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan setakat ini.
Menurut Polis Metro Jakarta Utara, AKBP Slamet Wibisono Yanto, kebakaran bermula ketika empat pekerja sedang melakukan pengubahsuaian pada kubah masjid berkenaan.
Tambahnya lagi, "Ketika ingin memasang bahan tripleks pada kubah masjid, pekerja di situ meleburkan selaput (asfalt gulung) untuk melekatkan bahan menggunakan bahan api. Saat melakukan pekerjaan tersebut, percikan api tiba-tiba muncul dan mula marak sehingga menyebabkan kebakaran."
Polis Metro Jakarta Utara sedang mengambil keterangan empat pekerja di situ untuk siasatan lanjut berkenaan kebakaran di masjid tersebut. Mereka merupakan saksi sekaligus pekerja yang terlibat dalam pengubahsuaian masjid ketika kejadian berlaku. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram