SEORANG lelaki teruk dilenjan hanya kerana menghalang laluan sebelah kiri eskalator di Stesen Grand Central, New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Kejadian itu berlaku di Stesen Grand Central dan rakaman video tersebut tular melalui perkongsian Smooth Norris di media sosial.
Menerusi video yang dirakam oleh salah seorang penumpang komuter tersebut, dua lelaki sedang bergelut di eskalator sehingga menyebabkan mereka berguling dan mengganggu orang ramai di situ.
Kejadian itu dipercayai berpunca apabila salah seorang daripada mereka menghalang laluan sebelah kiri eskalator tersebut dan menyebabkan seorang lelaki berusia 37 tahun berang sebelum bertindak memukul serta menumbuknya.
Kelihatan pengguna eskalator lain hanya mampu melihat dan cuba mengelak daripada mereka yang sedang bergelut.
Pada akhir video tersebut, seorang lelaki dan wanita cuba campur tangan bagi menghentikan pergaduhan mereka.
Menurut laporan Fox News, pihak polis New York telah menahan dan mendakwa suspek berusia 37 tahun itu menyerangnya dalam insiden pada 14 Oktober lalu itu.
Kejadian seperti itu bukan kali pertama berlaku di Stesen Grand Central. Pada Mac 2022, dua lelaki bergaduh sehingga jatuh berguling di tangga.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram